TELUK INTAN: Sepasang suami isteri maut dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan sebuah lori satu tan membawa muatan ayam sejuk beku di Parit Sembilan, Labu Kubong menghala ke Kampung Gajah di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.55 pagi tadi dan sebaik sahaja pihaknya tiba di lokasi terdapat mangsa iaitu suami isteri masing–masing berumur 32 dan 33 tahun tersepit.
“Kedua-duanya disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan. Sementara itu, dua lelaki iaitu pemandu lori dan kelindan hanya mengalami kecederaan ringan.
“Bomba melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja penyelamatan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa kemudiannya diperiksa oleh pegawai perubatan dan mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN










