BEIJING: China bersetuju membeli 200 pesawat Boeing dengan potensi tempahan meningkat sehingga 750 unit, kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Trump berkata, pesawat berkenaan akan dilengkapi enjin keluaran GE Aerospace.
“Perjanjian ini melibatkan kira-kira 200 pesawat dan janji sehingga 750 pesawat sekiranya mereka melakukan kerja dengan baik,” katanya kepada pemberita semalam.
Bagaimanapun, butiran lanjut termasuk jenis pesawat dan jadual penghantaran tempahan itu masih belum didedahkan.
Tempahan itu, jika dimuktamadkan, akan menjadi perjanjian besar pertama Boeing dengan China dalam hampir sedekad selepas syarikat pembuat pesawat AS itu sebahagian besarnya tersisih daripada pasaran penerbangan kedua terbesar dunia susulan ketegangan perdagangan antara Beijing dan Washington.
Saham Boeing susut hampir empat peratus pada Khamis selepas Trump memberitahu Fox News Channel bahawa China bersetuju membeli 200 pesawat, angka yang jauh lebih rendah daripada jangkaan penganalisis.
Saham syarikat itu terus merosot sekitar 2.4 peratus dalam dagangan pagi pada Jumaat, manakala saham GE Aerospace turun dua peratus.
Sumber sebelum ini memberitahu Reuters, tempahan sekitar 500 pesawat sedang dibincangkan menjelang pertemuan antara Trump dan pemimpin China, Xi Jinping.
Tempahan melebihi 500 pesawat, jika direalisasikan, akan menjadi yang terbesar dalam sejarah penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Kelly Ortberg dan Ketua Pegawai Eksekutif GE Aerospace, Larry Culp antara kumpulan eksekutif syarikat Amerika yang mengiringi Trump ke China bagi memeterai perjanjian atau menyelesaikan pertikaian perniagaan.
Bagi China, tempahan besar itu akan membantu menjamin kapasiti untuk terus mengembangkan pasaran penerbangannya ketika pengeluaran pesawat badan sempit buatan tempatan, COMAC C919, masih belum mencapai sasaran bercita-cita tinggi yang ditetapkan.
Ia juga akan membantu Boeing mengecilkan jurang dengan pesaingnya, Airbus, yang semakin jauh mendahului dalam pasaran China sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Perjanjian itu turut menjadi kemenangan yang amat diperlukan Trump, selepas tarif agresif dan dasar perdagangannya setakat ini gagal memberi kesan besar terhadap defisit perdagangan AS yang tinggi.- AGENSI










