United hadapi krisis pertahanan

United hadapi krisis pertahanan

MICHAEL CARRICK - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Manchester United berdepan krisis di posisi pertahanan tengah menjelang aksi penting menentang Chelsea di Stamford Bridge, pada Sabtu ini.

Situasi berkenaan tercetus selepas kekalahan mengejut 2-1 kepada Leeds United, yang turut menyaksikan Lisandro Martinez dilayangkan kad merah.

Pemain Argentina itu dibuang padang selepas insiden menarik rambut Dominic Calvert-Lewin, sekali gus bakal dikenakan penggantungan tiga perlawanan atas kesalahan berkelakuan ganas.

Masalah United mungkin bertambah buruk apabila Harry Maguire juga berdepan risiko penggantungan tambahan susulan pertuduhan Persatuan Bola Sepak England (FA) kerana didakwa menghamburkan kata-kata kesat terhadap pegawai perlawanan.

Pada masa sama, Matthijs de Ligt masih belum pulih daripada kecederaan belakang, menyebabkan pilihan di posisi pertahanan tengah semakin terhad.

Jika Maguire turut digantung, pengendali United, Michael Carrick hanya memiliki Leny Yoro sebagai satu-satunya pertahanan tengah senior yang cergas untuk perlawanan itu.

Remaja Ayden Heaven dijangka akan diturunkan, manakala pemain akademi Tyler Fredricson berkemungkinan dipanggil untuk melengkapkan skuad.

Sebelum ini, Carrick jelas tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil yang melayangkan kad merah kepada Martinez.

“Ia bukan tindakan agresif. Tiada tarikan kuat. Kita perlu berhati-hati dengan hala tuju bola sepak sekarang. Ia keputusan yang mengejutkan,” kata Carrick.

United ketika ini berada di tangga ketiga liga dengan 55 mata, tujuh mata di depan Chelsea dalam perebutan slot Liga Juara-Juara Eropah musim depan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN