Tindakan UAE keluar OPEC hanya 'gembirakan' Trump

Tindakan UAE keluar OPEC hanya ‘gembirakan’ Trump

UAE mengumumkan keluar daripada OPEC berkuat kuasa 1 Mei 2026.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABU DHABI: Keputusan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk keluar daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) bulan depan dilihat sebagai satu langkah berani yang memberi tekanan kepada Arab Saudi, selain berpotensi menggembirakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Pakar Asia Barat berpendapat, perkembangan ini mencerminkan bagaimana konflik terhadap Iran semakin memburukkan ketegangan lama di Teluk, bukannya menyatukan negara-negara serantau.

Secara asasnya, keputusan UAE meninggalkan OPEC merupakan kemuncak pertikaian berpanjangan dengan Arab Saudi mengenai tahap pengeluaran minyak yang patut dibenarkan untuk dikeluarkan oleh negara anggota.

BERSIFAT POLITIK

Baru-baru ini, Riyadh mahu mengehadkan bekalan bagi menyokong harga, manakala UAE menyokong pengeluaran yang lebih longgar.

“UAE sentiasa berada di pihak strategi jumlah, manakala Arab Saudi berada di pihak strategi harga,” kata Ketua Penganalisis dan Ketua Penyelidikan di Global Risk Management, Arne Lohmann Rasmussen kepada Middle East Eye.

Perbezaan ini berpunca daripada cara ekonomi Arab Saudi dan UAE berfungsi. Arab Saudi mempunyai 35 juta penduduk dan memiliki lebih daripada dua kali ganda rizab minyak terbukti berbanding UAE.

UAE pula hanya mempunyai kira-kira satu juta rakyat, dan oleh itu lebih sedikit rakyat berkongsi keuntungan minyak. Pada masa sama, UAE melabur besar dalam infrastruktur yang membolehkannya meningkatkan pengeluaran dan eksport minyak disebut sebagai peningkatan kapasiti pengeluaran.

“Perbezaan dasar antara UAE dan Arab Saudi telah lama wujud, tetapi Arab Saudi kini beralih untuk mendapatkan semula bahagian pasaran, dan perang ini sebenarnya menjadikan hujah lama mereka kurang relevan.

“Pengunduran ini lebih bersifat politik,” kata Felo Kanan Asia Barat di Pusat Kepentingan Nasional,Greg Priddy.

Pakar berpendapat, keputusan UAE keluar dari OPEC lebih bermotifkan politik berbanding ekonomi semata-mata. Langkah ini berlaku ketika Abu Dhabi semakin rapat dengan AS dan Israel, serta secara terbuka menyokong tindakan ketenteraan terhadap Iran.

Axios melaporkan minggu ini Israel menghantar sistem pertahanan udara Iron Dome serta juruteknik ke UAE ketika negara kecil Teluk itu diserang dron dan peluru berpandu Iran.

Negara-negara Teluk menempatkan ribuan tentera AS dan sangat bergantung kepada sistem senjata AS. Secara umum, rantau itu menyokong AS walaupun berasa kecewa kerana Washington mengabaikan rayuan mereka agar tidak menyerang Iran.

Arab Saudi menyediakan akses pangkalan tambahan dan laluan penerbangan kepada AS, tetapi pada masa sama menyokong usaha pengantaraan oleh sekutunya, Pakistan.

Tindakan UAE meninggalkan OPEC juga dilihat sebagai usaha menarik perhatian Trump, yang sejak lama mengkritik kartel minyak itu kerana didakwa memanipulasi harga global.

PERJANJIAN PERTAHANAN

Sesetengah penganalisis percaya langkah ini mungkin sebahagian daripada perjanjian tidak rasmi antara UAE, AS dan Israel termasuk kerjasama pertahanan sebagai balasan kepada tindakan melemahkan OPEC.

“Saya tidak akan terkejut jika kita melihat satu bentuk perjanjian pertahanan diumumkan dalam masa terdekat antara UAE, Israel dan AS,” kata Felo Kanan Majlis Atlantik dan penulis buku Saudi Inc, Ellen Wald dalam satu hantaran LinkedIn.Ellen Wald

Terdapat tanda-tanda UAE sedang bersedia menghadapi tempoh ketidaktentuan yang panjang dan memperkukuh lagi kerjasama dengan AS.

Menteri Luar UAE, Sheikh Abdullah Zayed, memberitahu Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, Abu Dhabi bersedia untuk perang yang mungkin berlanjutan sehingga sembilan bulan.

Awal bulan ini, UAE turut mendekati pentadbiran Trump untuk mendapatkan kemudahan pertukaran mata wang, yang akan memastikan akses kepada dolar AS jika rizabnya menyusut.

Penganalisis turut berpendapat, keputusan UAE keluar dari OPEC adalah sebahagian daripada persaingan lebih luas dengan Arab Saudi selepas Riyadh menguasai kumpulan itu serta pakatan lebih longgar yang turut melibatkan Russia, dikenali sebagai OPEC+.

Serangan Iran terhadap Teluk mencetuskan spekulasi perang akan menyatukan semula kedua-dua negara, namun ketika konflik berlarutan, Abu Dhabi dan Riyadh dilihat semakin memperhebat persaingan.

Menteri Tenaga UAE, Suhail al-Mazrouei dalam satu temu bual berkata, pengunduran dari OPEC yang merupakan matlamat jangka panjang UAE menjadi lebih mudah akibat konflik.

Dengan kapasiti lebihan yang besar, UAE kini berpotensi memainkan peranan sebagai pengawal pasaran minyak, satu peranan yang selama ini didominasi Arab Saudi.

Dari segi operasi, konflik di Selat Hormuz menjejaskan aliran tenaga global. UAE kini menyalurkan eksport minyak melalui saluran paip ke pelabuhan Fujairah, mengelakkan laluan tersebut.

Walaupun peningkatan pengeluaran tidak dijangka berlaku dalam masa terdekat akibat perang, pakar percaya dalam jangka panjang langkah UAE boleh memberi kesan besar kepada OPEC.

Malah, ada yang melihat keputusan ini sebagai tamparan besar kepada pakatan tenaga berusia 65 tahun yang diasaskan oleh Iran, Iraq, Kuwait, Arab Saudi dan Venezuela, malah mungkin menandakan permulaan kejatuhannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×