Thailand rampas 1.6 tan dadah disorok bawah kubis - Utusan Malaysia

Thailand rampas 1.6 tan dadah disorok bawah kubis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Polis Thailand merampas 1.6 tan ketamin dan methamphetamine kristal yang disembunyikan di bawah kubis dalam ruang belakang sebuah trak pikap, dengan pemandunya ditahan atas tuduhan pengedaran dadah.

Lelaki Thailand berusia 39 tahun itu ditahan hujung minggu lalu selepas berhenti di sebuah stesen minyak di wilayah Ayutthaya tengah, menurut polis.

Pihak berkuasa menemukan 900 kilogram (kg) ketamin dan 700 kg methamphetamine kristal dalam bungkusan yang disorok di bawah guni sayur, kata polis Bangkok dalam kenyataan pada Ahad.

Pemandu yang ditahan pada Sabtu itu mengaku diupah untuk mengangkut dadah berkenaan dengan bayaran 100,000 baht (RM12,405), menurut polis.

Kesalahan pengedaran dadah itu membawa hukuman maksimum antara 15 tahun penjara hingga penjara seumur hidup.

Polis berkata, pihaknya mengesyaki dadah itu diseludup dari sebuah negara jiran, namun tidak mendedahkan negara tersebut.

Thailand merupakan hab utama penyeludupan dadah haram di Asia Tenggara, dan serbuan serta rampasan dadah seperti heroin dan methamphetamine adalah perkara biasa.

Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) berkata, sebanyak 236 tan methamphetamine dirampas di Asia Timur dan Tenggara pada 2024, peningkatan 24 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut UNODC, Thailand menjadi pusat transit dan destinasi utama methamphetamine yang diseludup dari Myanmar, dan mencatat jumlah rampasan meth terbesar di rantau itu.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN