KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) optimis skuad badminton negara mampu bangkit dalam kejohanan Piala Thomas meskipun pencapaian negara di Kejohanan Badminton Asia (BAC) baru-baru ini tidak memberangsangkan.
Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada persiapan rapi yang dibuat oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam memastikan pemain berada di tahap terbaik menjelang Piala Thomas.
“Kita sentiasa memberikan semangat kepada pemain dan BAM sentiasa memberikan laporan terkini kepada saya berkaitan dengan perkara ini. Jadi, kita mendoakan agar kejayaan buat mereka yang mewakili negara kita, insya-Allah.
“KBS sentiasa optimis tentang prestasi yang akan mereka tonjolkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pra Peluncuran Sambutan Hari Belia Negara 2026 peringkat kebangsaan di Bukit Jalil, hari ini.
Terdahulu, beberapa tonggak negara yang bakal beraksi di Piala Thomas dekat Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini tersingkir awal dalam saingan BAC.
Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terkandas di pusingan pertama, manakala perseorangan lelaki Leong Jun Hao dan Justin Hoh turut mengalami nasib sama.
Pencapaian terbaik Malaysia hanyalah mara ke suku akhir menerusi beregu lelaki No.1, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, selain beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah serta beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Dalam perkembangan berasingan, Taufik memaklumkan KBS mensasarkan seramai 4.5 juta belia akan menjayakan sambutan Hari Belia Negara peringkat kebangsaan.
“Mengangkat tema ‘Menggerak Belia’, sambutan Hari Belia Negara 2026 memberi penekanan kepada usaha memperkasa kepimpinan, mengangkat potensi belia dan menyahut cabaran masa hadapan sebagai pemacu perubahan,” katanya.
Majlis perasmian Hari Belia Negara akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di X Park Sendayan, Negeri Sembilan pada 15 Mei ini.-UTUSAN










