SANDAKAN: Penempatan penduduk Kampung Bahagia, Batu Sapi, di sini perlu dibina dengan lebih terancang dan selamat bagi mengelak tragedi sama berulang.
Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, kerajaan sedang mewartakan kampung berkenaan supaya pembangunan lebih sistematik dapat dirancang.
Difahamkan, proses mewartakan kira-kira 24 hektar tanah perkampungan atas air itu sedang berjalan.
“Kita akan berbincang dengan kerajaan negeri berhubung keperluan membina Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi menempatkan mangsa kebakaran.
“Kita pastikan kita boleh bantu mangsa kebakaran untuk membina semula rumah mereka. Apabila kampung ini sudah diwartakan nanti, kita akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk membina PPR,” katanya selepas melawat mangsa kebakaran, di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, semua pihak kini bekerja keras memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mangsa kebakaran bagi mengurangkan beban yang mereka hadapi.
Pihaknya juga sentiasa berada di lapangan untuk memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan kepada mangsa kebakaran dapat disalurkan secara berkesan.
Terdahulu, dalam kejadian pukul 1.30 pagi, 1,000 rumah atas air musnah dalam kebakaran sekali gus menjejaskan kira-kira 8,000 mangsa. – UTUSAN










