SANDAKAN: “Mahu sedih pun tiada guna sebab semua orang pun kehilangan rumah.”
Itu luahan Sharifah Saadah Sh Sabdan, 33, antara kira-kira 8,000 mangsa yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, dekat sini, yang memusnahkan 1,000 rumah, awal pagi tadi.
Menceritakan kejadian itu, dia pada mulanya menerima panggilan daripada kakaknya dan memintanya menghubungi pihak bomba selepas dimaklumkan kampung mereka terbakar.
Ketika kejadian, dia yang berada di rumah mentua menyangka kebakaran berkenaan jauh dari kediamannya sehinggalah salah seorang rakan memaklumkan kebakaran itu sudah menghampiri kawasan rumahnya.
“Kami terus capai apa yang patut (perlu). Apabila saya tengok api makin dekat, selang dua rumah sahaja, terus saya menggigil satu badan.
“Apabila tengok api makin dekat, saya cakap dengan suami bahawa rumah kami sudah tidak selamat lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sharifah berkata, dia reda dengan ketentuan itu walaupun sukar menerima hakikat rumah tempat mereka membesar kini sudah musnah terbakar.
Dia turut mengimbau kejadian sama pernah berlaku pada tahun 2004 namun ketika kejadian rumahnya terselamat dalam kebakaran itu.
“Tidak apa, saya reda. Walau saya berharap kali ini rumah kami selamat seperti tahun 2004, tetapi bukan rezeki kami. Saya percaya Allah akan ganti dengan yang lebih baik. Saya macam bermimpi. Rumah tempat kami membesar sudah tiada,” katanya.
Sharifah sekeluarga turut berdepan detik mencemaskan apabila perlu menyelamatkan 20 ekor kucing peliharaan ketika api sedang marak.
“Hanya 10 ekor sempat dimasukkan ke dalam bakul manakala selebihnya terpaksa dilepaskan di tempat selamat kerana keadaan terlalu panik.
“Kami memang capai mana yang sempat. Yang lain kami lepas saja di tempat selamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung, Sharif Hashim, 61, berkata, kejadian didakwa berlaku akibat kecuaian ketika sedang memasak.
“Saya difahamkan, kebakaran berpunca daripada salah seorang penduduk yang sedang memasak selepas itu meninggalkan dapur.
“Apabila dia kembali, masakan itu sudah kering dan api mula marak. Dia cuba memadamkan api menggunakan kain tetapi kain itu pula terbakar. Kemudian dia cuba menggunakan kayu tapi api semakin besar dan merebak dengan cepat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Ketua Zon 6 Sandakan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jasri Ab Jal ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kejadian namun tidak menolak kemungkinan berpunca daripada kecuaian penduduk.
“Hasil maklumat awal macam tu lah (berlaku ketika sedang memasak). Tapi siasatan terperinci perlu juga dijalankan. Ambil masa juga tu untuk dapat punca sebenar kejadian.
“Pihak forensik bomba dari Kota Kinabalu pun sedang dalam perjalanan dan akan tiba tidak lama lagi,” katanya.
Menyentuh berhubung operasi itu, pihaknya mengambil masa kira-kira 11 jam bagi mengawal dan memadam sepenuhnya kebakaran berkenaan.
“Operasi pemadaman berdepan pelbagai cabaran termasuk laluan sempit dan keadaan air laut surut sukarkan sumber bekalan air.
“Struktur rumah yang rapat selain angin kencang menyebabkan api merebak dengan cepat.
“Selain itu, keadaan air laut yang surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber air terbuka,” katanya. – UTUSAN










