'Kejadian ketiga selepas selepas 1994 dan 2001, tetapi ini paling besar’

‘Kejadian ketiga selepas selepas 1994 dan 2001, tetapi ini paling besar’

JUMLAH rumah yang musnah dalam kebakaran di penempatan setinggan di sini meningkat kepada 1,000 buah, sekali gus menjejaskan kira-kira 8,000 mangsa. - IHSAN JBPM SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: Jumlah rumah yang musnah dalam kebakaran di penempatan atas air, Kampung Bahagia, Batu Sapi, di sini meningkat kepada 1,000 buah sekali gus menjejaskan kira-kira 8,000 mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pendaftaran mangsa di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi dan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Gas masih dijalankan.

Katanya, hasil laporan, jumlah rumah yang terbabit dalam kebakaran dianggarkan sebanyak 1,000 buah, membabitkan kira-kira 8,000 mangsa.

“Kebakaran sudah berjaya dipadam dan operasi ditamatkan pukul 1 tengah hari tadi. Semua mangsa sedang di daftar masuk ke PPS yang disediakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan empat aliran sepanjang 1,000 kaki dengan 12 pancutan. 

“Jentera FRT bantuan daripada BBP Kinabatangan turut menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya lain di lokasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Bahagia, Sharif Hashim Sharif Titing ketika dihubungi berkata, hampir 90 peratus kediaman di kampung itu terbakar dan menjadikannya kebakaran paling besar pernah direkodkan di kawasan berkenaan.

“Ini kejadian ketiga selepas kejadian sama berlaku pada 1994 dan 2001 tapi kali ini keseluruhan kampung terbakar.

“Syukur tiada kemalangan jiwa berlaku. Kami harap bantuan segera dapat disalurkan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN