PETALING JAYA: Perancangan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memperluaskan saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) kepada format 32 pasukan bermula musim 2026/27 bakal membuka peluang cerah buat kelab Liga Malaysia (Liga M) mengikuti jejak Johor Darul Ta’zim (JDT) bersaing di pentas itu.
Jawatankuasa Pertandingan AFC mencadangkan satu siri penambahbaikan strategik terhadap pertandingan tersebut dengan menambah jumlah penyertaan daripada 24 kepada 32 pasukan, sekali gus membuka lebih ruang kepada pasukan dari seluruh benua ini termasuk wakil Liga M bersaing di kejohanan tertinggi Asia itu.
Menerusi struktur baharu yang dicadangkan itu, 32 pasukan akan dibahagikan sama rata kepada dua zon iaitu Timur dan Barat dengan 16 pasukan bersaing dalam setiap zon.
Menerusi kenyataan di laman rasmi, AFC memaklumkan peningkatan skala itu bertujuan memberi peluang kepada kelab elit untuk bersaing dalam kalangan pasukan terbaik di benua ini, sambil menggalakkan standard profesionalisme dan prestasi yang lebih tinggi bagi saingan liga domestik di seluruh Asia.
Berdasarkan cadangan awal itu juga, pasukan yang berada di kedudukan pertama hingga keenam di setiap zon akan layak secara automatik beraksi di pusingan 16 terbaik.
Sementara itu, kelab yang menamatkan saingan di tempat ketujuh hingga ke-10 tidak akan disingkirkan, sebaliknya akan beraksi dalam perlawanan playoff peringkat kalah mati yang baharu diperkenalkan.
Pemenang perlawanan playoff itu kemudian akan mengisi baki slot ke pusingan 16 terbaik bagi memastikan setiap kedudukan dalam peringkat liga kekal penting hingga perlawanan terakhir.
Oleh kerana jadual pertandingan global yang padat ketika ini, aksi playoff peringkat kalah mati tidak akan dilaksanakan bagi musim 2026/27 dan ia akan diperkenalkan pada musim berikutnya.
Perubahan yang cuba dilaksanakan itu adalah komitmen AFC untuk menyediakan platform bola sepak benua yang lebih inklusif dan berdaya komersial dengan meluaskan penyertaan pasukan dalam bola sepak elit.
AFC juga mahu memastikan ACLE terus berada di barisan hadapan landskap bola sepak global, sambil menawarkan tontonan sukan bertaraf tinggi kepada peminat dan pihak berkepentingan.
AFC bagaimanapun menjelaskan semua keputusan Jawatankuasa Pertandingan itu perlu disahkan oleh Jawatankuasa Eksekutif AFC sebelum berkuat kuasa.-UTUSAN










