JDT diuji juara dunia kelab, Chelsea di SSI Ogos ini

JDT diuji juara dunia kelab, Chelsea di SSI Ogos ini

JDT akan menentang Chelsea pada aksi persahabatan pada Ogos ini.-IHSAN JST
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Arena bola sepak tempatan bakal menyaksikan satu pertembungan berprofil tinggi apabila juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dijadual melayan kunjungan gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada 11 Ogos ini.

Perlawanan yang dijadual berlangsung pada pukul 8 malam itu dijangka menjadi tumpuan penyokong bola sepak tempatan dan Asia Tenggara (ASEAN) apabila Harimau Selatan bakal menguji keupayaan menentang salah satu kelab paling berpengaruh di Eropah.

Aksi berprestij yang dibawakan TEG Sport itu bukan sahaja memberi peluang kepada peminat menyaksikan Chelsea beraksi di Malaysia buat kali pertama sejak 2013, malah menjadi pentas penting buat JDT membuktikan kemampuan mereka bersaing dengan kelab elit dunia.

Bagi Chelsea, pertemuan menentang JDT menjadi aksi terakhir jelajah pra-musim mereka sebagai persiapan menghadapi kempen 2026/27, sekali gus memberi peluang kepada penyokong Asia Tenggara melihat sentuhan pengurus baharu, Xabi Alonso yang kini mengemudi pasukan dari Stamford Bridge.

Status Chelsea sebagai juara semasa Piala Dunia Kelab FIFA serta kelab yang pernah memenangi semua trofi utama bola sepak moden menjadikan kunjungan The Blues ke Johor lebih istimewa, apatah lagi pasukan London itu mempunyai kelompok penyokong besar di rantau ini.

JDT pula hadir dengan reputasi cukup gah selepas mendominasi saingan domestik menerusi 12 kejuaraan Liga Super berturut-turut selain kejayaan menjuarai Piala AFC 2015 dan penampilan konsisten dalam saingan elit Asia.

Pengarah Operasi Bola Sepak Chelsea, Pete Nuttall berkata, pihaknya teruja dapat menjadikan aksi menentang JDT sebagai penutup jelajah pra-musim selain kembali beraksi di Malaysia selepas lebih sedekad.

“Sukan bola sepak mempunyai kelompok penyokong yang amat bersemangat di rantau ini dan merupakan peluang terbaik untuk penyokong kami di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara menyaksikan pasukan beraksi sekali lagi menjelang musim baharu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia menyifatkan kehadiran Chelsea sebagai pengiktirafan terhadap peningkatan status Harimau Selatan di pentas Asia.

“Perlawanan ini bukan sahaja menjadi satu pencapaian penting buat kelab kami, malah mencerminkan peningkatan kedudukan JDT dalam arena bola sepak Asia.

“Stadium Sultan Ibrahim merupakan kubu kami dan pada Ogos nanti, akan menjadi pentas kepada satu malam yang pasti sukar dilupakan.

“Kami menantikan perlawanan ini dan berharap akan menjadi permulaan kepada lebih banyak perlawanan berprofil tinggi pada masa hadapan,” ujarnya.

Pengarah Urusan TEG Sport, Rachael Carroll pula berkata, pihaknya tidak sabar membawa Chelsea ke Malaysia sambil menyifatkan sokongan luar biasa peminat bola sepak tempatan bakal mewarnai suasana penuh meriah di Stadium Sultan Ibrahim.

Tiket bagi perlawanan itu dijual pada harga bermula RM154 hingga RM1,254 untuk kategori VIP, dengan pra-jualan kelab penyokong Chelsea dan JDT bermula esok (21 Mei) sebelum jualan umum dibuka sehari selepas itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN