JDT azam kebangkitan lawan Buriram

JDT azam kebangkitan lawan Buriram

Xisco Munoz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz tetap optimis anak buahnya mampu mempamerkan kebangkitan ke atas Buriram United pada aksi timbal balik separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Arena Chang, malam esok.

Menurut Munoz, prestasi pemain ketika ini pada tahap terbaik setelah memperagakan persembahan memukau ketika membelasah Kelantan The Real Warriors 14-1 pada aksi penutup Liga Super, Ahad lalu.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu menuntut barisan pemain mempamerkan kematangan luar biasa dan ketajaman di bahagian serangan pada aksi getir berdepan Thunder Castle itu.

“Kita akui ia bukanlah tugas yang mudah setelah pasukan ketinggalan 1-3 pada aksi pertama, Rabu lalu namun ia tidak mustahil dapat dilakukan di gelanggang lawan. Yang penting kita mempunyai mentaliti positif menjayakan misi ini.

“Skuad Harimau Selatan memiliki segala kualiti dan kekuatan mental untuk menterjemahkan kebangkitan, sekali gus memadam kelebihan lawan. Jika ada pasukan yang boleh mengubah situasi ini, pasukan itu adalah JDT,” katanya.

Menurut Munoz, fokus utama pasukan ketika ini adalah mengekalkan corak permainan pantas serta meminimumkan kesilapan teknikal yang dilakukan pada perlawanan sebelum ini.

Bekas pengendali Watford itu mengakui pasukannya berjaya mengawal rentak permainan dalam aksi terdahulu, namun tumpuan kini terarah kepada penguasaan di zon serangan (last third) dan disiplin bertahan.

Tegasnya, pemain perlu lebih ‘matang’ dalam mengendalikan situasi kritikal di atas padang bagi memastikan gawang tidak dibolosi sehingga wisel penamat.

“Kami perlu melonjakkan aspek mentaliti dan memberikan aksi terbaik untuk membuka peluang ke pusingan seterusnya. Saya ke sana dengan cita-cita serta azam yang maksimum.

“Kami perlu lebih kuat di kawasan serangan. Itu misi kami, selain cuba untuk tidak melepaskan gol dan kekal bersaing dalam perlawanan sehingga ke minit akhir,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×