PETALING JAYA: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui pasukannya tidak bernasib baik apabila gagal mara ke perlawanan akhir Kejuaraan Kelab Asean (ACC) selepas tewas kepada Buriram United dengan keputusan Agregat 4-3.
Meskipun berjaya menang 2-1 di Stadium Chang Arena, namun keputusan agregat tetap memihak kepada pasukan dari Thailand itu sekali gus menyaksikan perlawanan akhir bakal mempertemukan Selangor FC dan Buriram pada 20 dan 27 Mei ini.
Namun begitu, Munoz tetap memuji komitmen tinggi anak buahnya yang disifatkan beraksi dengan penuh keberanian dan semangat juang, terutama dalam perlawanan timbal balik di tempat lawan.
“Kami datang dan dari minit pertama lagi cuba mengubah keputusan perlawanan. Saya sangat bangga dengan pemain,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Menurutnya, JDT sebenarnya memulakan aksi dengan baik termasuk menjaringkan gol awal, namun kehilangan rentak pada separuh masa kedua serta beberapa pertukaran pemain memberi kesan kepada kestabilan pasukan.
“Selepas itu kami hilang sedikit tenaga di bahagian tengah. Banyak pertukaran berlaku dan permainan menjadi lebih terbuka.
“Mereka tidak perlukan banyak percubaan untuk menjaringkan gol. Apabila sampai ke kawasan penalti, mereka terus menghukum,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mengakui kesilapan di perlawanan pertama di laman sendiri menjadi faktor utama yang menyukarkan tugas JDT untuk mara ke pentas final.
“Kami tidak boleh melepaskan tiga gol di tempat sendiri. Itu yang perlu kami pelajari dan perbaiki,” tegasnya.
Dalam masa sama, Munoz tetap optimis terhadap masa depan JDT, sambil menyifatkan musim ini sebagai pengalaman berharga termasuk pencapaian bersejarah kelab di pentas Liga Juara-Juara Asia.
“Kami akan bekerja lebih keras untuk musim depan. Kami mahu menjadi lebih kuat dan sampai ke perlawanan akhir,” ujarnya. – UTUSAN










