MADRID: Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone menegaskan pasukannya kini bersedia untuk memburu kejuaraan Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan Barcelona untuk mara ke separuh akhir, semalam.
Meskipun tewas 1-2 dalam aksi kedua suku akhir di laman sendiri, keputusan itu sudah memadai buat Los Rojiblancos melangkah dengan agregat 3-2 hasil kemenangan 2-0 di Camp Nou minggu lalu.
Menurut Simeone, anak buahnya kini tampil dengan keyakinan tinggi untuk merealisasikan impian yang sekian lama diburu.
“Kami akan turun dengan penuh harapan dan keyakinan. Kami tahu kekuatan serta kelemahan yang kami miliki.
“Kami sudah bersedia dan akan terus berjuang untuk apa yang kami impikan selama ini,” katanya.
Atletico yang belum pernah menjulang trofi tersebut sebelum ini bakal berdepan Arsenal atau Sporting Lisbon di peringkat separuh akhir.
Untuk rekod, Simeone pernah membawa Atletico ke pentas final pada 2014 dan 2016, namun kedua-duanya berakhir dengan kekecewaan apabila tewas kepada seteru setempat, Real Madrid. Kali terakhir mereka mara
ke separuh akhir adalah pada 2017.
“Sudah 14 tahun saya di sini dan saya masih teruja melihat pasukan ini terus bersaing di tahap tertinggi.
“Walaupun pemain silih berganti dan kami terpaksa membina semula pasukan beberapa kali, kami tetap mampu berada dalam kelompok empat terbaik Eropah,” katanya.
Sementara itu, penyerang berpengalaman, Antoine Griezmann berkata, semangat juang tinggi menjadi kunci kebangkitan pasukan meskipun ketinggalan awal.
Dua gol awal Barcelona menerusi Lamine Yamal dan Ferran Torres hampir menggugat Atletico, namun jaringan Ademola Lookman memastikan mereka terus bernyawa dalam saingan.
“Dengan sokongan penyokong serta kualiti yang kami ada, kami yakin mampu mendapatkan gol.
“Walaupun tidak selesa dan kurang tenang mengawal permainan, kami tetap berjaya mencapai sasaran untuk mara,” katanya.
Dalam pada itu, jurulatih Barcelona, Hansi Flick meluahkan rasa kecewa apabila pasukannya tersingkir walaupun mempamerkan aksi meyakinkan.
“Kami bermain dengan baik terutama pada separuh masa pertama, namun gagal memanfaatkan peluang yang ada.
“Jika dilihat keseluruhan kedua-dua perlawanan, kami sebenarnya layak ke separuh akhir, namun inilah bola sepak,” katanya.
Menurut Flick, barisan pemain muda Barcelona masih perlu menimba pengalaman bagi menghadapi situasi getir seperti itu pada masa akan datang.
“Kami perlu belajar daripada kesilapan ini dan terus memperbaiki kelemahan. Pasukan ini masih muda dan saya percaya kami akan menjadi lebih baik musim depan,” katanya. – AFP










