LONDON: Legenda Manchester United, Wayne Rooney menegur tindakan Manchester City yang disifatkannya terlalu berlebihan dalam meraikan kemenangan 2-1 ke atas Arsenal, awal pagi tadi.
Kemenangan di Stadium Etihad itu menyaksikan City berjaya merapatkan jurang kepada hanya tiga mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris(EPL) berkenaan, sekali gus menghidupkan semula saingan perebutan kejuaraan.
Namun, perhatian tertumpu kepada aksi sambutan selepas perlawanan apabila penjaga gol, Gianluigi Donnarumma dilihat meluru ke arah penyokong sebelum terjun ke dalam kelompok mereka di stadium.
Malah, penyokong tuan rumah turut mempamerkan sepanduk bertulis ‘Panic on the streets of London’, manakala pemain City melakukan ‘lap of honour’ mengelilingi padang sejurus wisel penamat dibunyikan.
Rooney berpendapat reaksi tersebut agak keterlaluan memandangkan saingan liga masih belum menemui penghujungnya dan apa sahaja masih boleh berlaku.
“Sambutan itu agak keterlaluan. Memang ia kemenangan besar, tetapi masih berbaki beberapa perlawanan. Saya rasa ia terlalu awal dan mungkin akan memakan diri mereka,” katanya.
Rooney percaya Arsenal masih mempunyai kelebihan untuk menamatkan musim sebagai juara sekiranya berjaya mengekalkan momentum kemenangan dalam baki perlawanan.-AGENSI










