TAWAU: Seorang remaja lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh kekasihnya yang juga rakan senegara di sebuah ladang kelapa sawit, dekat Kalabakan, tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos, memerintahkan tertuduh berusia 16 tahun itu menjalani hukuman penjara sehingga mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah selaras dengan Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.
Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi meneliti laporan akhlak yang dikemukakan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tawau, memandangkan tertuduh masih dibawah umur ketika kejadian sebelum hukuman diputuskan.
Bagaimanapun, hakim menegaskan kepentingan awam dan keseriusan jenayah itu mengatasi segala pertimbangan lain.
Dalam prosiding berkenaan, mahkamah berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Berdasarkan penilaian keseluruhan bukti, mahkamah membuat kesimpulan bahawa kesalahan jelas menjurus kepada tertuduh yang membunuh mangsa.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pemegang pasport Indonesia berusia 13 tahun (ketika kejadian) didakwa membunuh kekasihnya Nur Zahirah Safarudin, 13, antara pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, pada 4 Januari 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa ditemukan dalam parit di kawasan ladang berkenaan dengan kesan kecederaan di bahagian kepala.-UTUSAN










