WELLINGTON: Pembunuh supremasi kulit putih, Brenton Tarrant, gagal dalam rayuan untuk membatalkan sabitan dan hukuman terhadapnya berhubung kes tembakan yang mengorbankan 51 orang di dua masjid di New Zealand pada 2019, menurut dokumen mahkamah.
Lelaki berusia 35 tahun itu mengaku melakukan serangan tembakan paling buruk dalam sejarah moden New Zealand sebelum dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Ogos 2020.
Tarrant merayu kepada Mahkamah Rayuan pada Februari, dengan mendakwa keadaan tahanan yang menyeksakan dan tidak berperikemanusiaan semasa perbicaraan menyebabkan dia tidak mampu membuat keputusan secara rasional ketika mengaku bersalah.
“Mahkamah tidak menerima keterangan Tarrant mengenai keadaan mentalnya.
“Terdapat ketidakkonsistenan dalam keterangan Tarrant sendiri, dan keterangannya juga bercanggah dengan pemerhatian terperinci pihak berkuasa penjara serta penilaian pakar kesihatan mental pada ketika dia membuat pengakuan bersalah,” menurut keputusan mahkamah.
Panel tiga hakim memutuskan pengakuan bersalah Brenton Tarrant dibuat secara sukarela, dan dia tidak dipaksa atau ditekan dalam apa jua cara untuk mengaku bersalah.
“Bukti dengan jelas menunjukkan bahawa beliau tidak mengalami sebarang kesan psikologi yang signifikan akibat keadaan penjaranya ketika beliau membuat pengakuan bersalah,” kata mahkamah.
Mahkamah turut menyatakan rayuan terhadap sabitan yang dikemukakan adalah sama sekali tidak berasas.
Hukuman penjara seumur hidup tanpa pembebasan parol yang dikenakan terhadap Tarrant merupakan yang paling berat dalam sejarah New Zealand.
Dengan bersenjata api separa automatik, Tarrant menyerang jemaah di dua masjid di Christchurch pada 15 Mac 2019.
Beliau menerbitkan manifesto dalam talian sebelum serangan tersebut dan kemudian menyiarkan secara langsung pembunuhan itu selama 17 minit.
Kesemua mangsa beragama Islam, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Keputusan mahkamah menjadi lebih rumit apabila, seminggu selepas pendengaran rayuan pada Februari, Tarrant cuba menarik balik sepenuhnya rayuannya.
Para hakim berkata, mahkamah menerima notis penarikan rayuan yang ditandatangani oleh Tarrant menggunakan nama samaran ciptaan sendiri, namun dokumen itu ditolak kerana tidak bertarikh dan tiada bersaksi.- AFP









