Tiada kesefahaman, hubungan dengan Mickey kekal sekadar kawan - Nora Danish - Utusan Malaysia

Tiada kesefahaman, hubungan dengan Mickey kekal sekadar kawan – Nora Danish

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nora Danish,44, mengakui hubungannya dengan perunding kewangan, Mickey Ayo, kini kekal sekadar kawan meskipun sebelum ini mereka pernah melalui fasa saling mengenali hati budi.

Menurut Nora, hubungan yang terjalin antara mereka sebelum ini tidak dapat diteruskan dan kedua-duanya sepakat untuk membawa haluan masing-masing dalam kehidupan tanpa sebarang konflik atau perasaan tidak baik.

“Buat masa ini, Nora masih solo dan tidak mempunyai kekasih. Sebelum ini mungkin ada proses mengenali hati budi, tetapi kami telah mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing dalam kehidupan.

“Jadi sekarang, kami hanya berkawan sahaja. Saya pun berkawan dengan semua orang.

“Keputusan untuk kekal berkawan ini dibuat kerana masing-masing sibuk dan ada beberapa faktor ketidaksefahaman dari pelbagai segi sebelum ini. Jadi, berkawan adalah jalan yang terbaik,” katanya.

Nora berkata demikian ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdana Poskad Cinta Dari Istanbul anjuran UTV Original, di ibu negara, semalam.

Pada masa sama, pelakon ini menjelaskan hubungannya dengan bekas-bekas suami juga berada dalam keadaan yang sangat baik demi anak-anak.

Malah, kata Nora, mereka selesa mengekalkan hubungan sebagai sahabat selain mencuba menjadi ibu bapa yang baik kepada anak-anak.

Ditanya kemungkinan akan kembali bersama dengan bekas suaminya, Nedim Nazri, Nora menafikan perkara tersebut.

Katanya, keputusan untuk tidak kembali bersama atau rujuk dibuat atas dasar kematangan serta keselesaan masing-masing selepas melalui pelbagai fasa kehidupan.

“Saya sangat selesa dengan hubungan sekarang bersama bekas-bekas suami. Kami mempunyai hubungan yang baik demi anak-anak.

“Jika orang mengharapkan kami kembali bersama (rujuk), saya rasa buat masa ini kami lebih bahagia dengan cara begini.

“Namun, saya tidak berani mengatakan ‘tidak akan’ kerana segalanya adalah takdir Allah. Apa yang boleh saya katakan, saya dan bekas-bekas suami sangat selesa berkawan dan bekerjasama sebagai ibu bapa untuk menjaga anak-anak kami. Tiada apa yang lebih daripada itu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN