Putin beri amaran kepada Trump - Utusan Malaysia

Putin beri amaran kepada Trump

PUTIN (kiri) memberi amran kepada Trump berhubung perang Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW/WASHINGTON: Presiden Russia, Vladimir Putin memberi amaran kepada rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS) terhadap akibat yang merosakkan jika tindakan ketenteraan baharu di Iran dilancarkan, kata seorang  pembantu Kremlin kepada wartawan pada Rabu selepas kedua-dua pemimpin berbual melalui telefon.

Pembantu itu, Yuri Ushakov berkata, Putin menekankan akibat yang tidak dapat dielakkan dan amat merosakkan bukan sahaja kepada Iran dan negara jirannya, tetapi juga kepada seluruh komuniti antarabangsa jika AS dan Israel sekali lagi menggunakan tindakan ketenteraan.

Panggilan itu berlangsung lebih 90 minit dan disifatkan sebagai terus terang dan bersifat profesional, kata Ushakov kepada wartawan, termasuk AFP, dalam taklimat melalui telefon.

Menurutnya, kedua-dua presiden memberi perhatian khusus kepada situasi berkaitan Iran dan di Teluk Parsi.

“Putin menganggap keputusan Trump untuk melanjutkan gencatan senjata dengan Iran sebagai langkah yang tepat, kerana ia memberi peluang kepada rundingan dan secara keseluruhan membantu menstabilkan keadaan,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa Russia komited sepenuhnya untuk memberikan segala bantuan yang mungkin kepada usaha diplomatik berhubung perang di Asia Barat dan berkata, panggilan itu diadakan atas inisiatif Moscow.

AS-Israel menyerang Iran pada 28 Februari lalu selepas rundingan antara Washington-Teheran diadakan di Geneva, Switzerland berhubung isu nuklear tetapi Trump mengumumkan gencatan senjata bermula 8 April lalu sehingga 22 April sebelum dilanjutkan tanpa had.

Sementara itu, di Washington, Trump memberitahu wartawan bahawa beliau mengadakan perbualan yang sangat baik dengan Putin, namun berkata perbincangan tersebut lebih tertumpu kepada perang Ukraine berbanding Iran.

Trump menambah bahawa Putin mahu membantu menamatkan perang AS-Israel terhadap Iran, tetapi beliau memberitahu pemimpin Russia itu supaya menamatkan pencerobohan Ukraine terlebih dahulu.

Ushakov turut memberi taklimat kepada wartawan mengenai perbincangan kedua-dua pemimpin berkaitan perang di Ukraine, yang kini memasuki tahun kelima selepas pencerobohan besar-besaran Russia terhadap jirannya pada Februari 2022.

“Atas permintaan Trump, Putin menerangkan situasi semasa di sepanjang garis pertempuran, di mana tentera kami memegang inisiatif strategik dan menolak kedudukan musuh,” katanya kepada wartawan.

“Putin dan Trump pada asasnya mempunyai penilaian yang hampir sama terhadap tingkah laku rejim Kyiv yang dipimpin oleh Volodymyr Zelensky dan didorong serta disokong oleh pihak Eropah untuk meneruskan konflik,” tambahnya.

Serangan Russia ke atas Ukraine telah memusnahkan sebahagian besar wilayah negara itu, mengorbankan ribuan orang awam dan memaksa jutaan penduduk melarikan diri dari rumah mereka.

Putin berkata, beliau bersedia mengisytiharkan gencatan senjata sepanjang sambutan Hari Kemenangan, kata Ushakov.

Russia menyambut Hari Kemenangan pada 9 Mei bagi memperingati kemenangan Kesatuan Soviet ke atas Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua, yang disambut setiap tahun dengan perarakan ketenteraan di pusat Moscow.

Acara tahun ini akan dikurangkan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan ancaman serangan balas Ukraine, kata Kremlin pada hari Rabu. – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN