PETALING JAYA: Pencapaian Andre Anura Anuar yang memenangi pingat perak pada Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura menjadi ujian pertama buat atlet lompat jauh negara itu mengukur prestasi semasanya menjelang Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun pada 19 September-4 Oktober depan.
Pemenang pingat emas Sukan SEA dan pemegang rekod kebangsaan itu membawa pulang pingat perak pada kejohanan pertama, musim ini, yang telahpun berakhir, kelmarin.
Selain Andre, Malaysia turut membawa pulang tiga pingat emas menerusi Mohamad Armin Zahryl (110 meter Lari Berpagar), Umar Osman (400m lelaki) dan Shereen Samson Vallabouy (400m), manakala perak dimenangi kuartet 4x400m lelaki, Muhammad Izzul Hanif (Lompat Kijang), Melissa Choong (Lompat Tinggi) dan Ng Jing Xuan (Rejam Lembing) serta dua gangsa menjadi milik Nurkhaleesa Yasmin (Lompat Kijang dan Lompat Jauh).

Bekas jaguh pecut negara, Nazmizan Mohamad berkata, atlet senior seperti Andre sudah tentu memiliki sasaran yang diletakkan jurulatihnya menjelang Sukan Asia dan keputusan yang dicatat atlet itu di Singapura akan menjadi penilaian terhadap prestasi semasanya.
“Dalam sukan olahraga, kita perlu menghormati periodisasi yang jurulatih buat iaitu di mana sasaran utama untuk atlet. Sebagai contoh macam Andre atlet lompat jauh, mungkin sasaran beliau di Sukan Asia berada dalam kelompok tiga terbaik.
“Jadi untuk Kejohanan Terbuka Singapura, ia adalah proses yang perlu beliau lalui untuk melihat keberkesanan periodisasi jurulatihnya iaitu lompatan 7.48m mungkin bagus untuk Andre,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Nazmizan, berdasarkan keputusan yang dilakar atlet-atlet Malaysia di negara tetangga itu, ia merupakan satu permulaan baik bagi mengekalkan prestasi konsisten untuk terus memburu keputusan podium menjelang temasya empat tahun sekali tersebut.
Katanya, Terbuka Singapura merupakan kejohanan pertama buat wakil negara pada tahun ini di peringkat antarabangsa, jadi, penyertaan atlet dari negara Asia yang lain tidak begitu ramai.
“Tetapi sekurang-kurangnya atlet kita tahu dimana kedudukan mereka dalam kalangan atlet Asia dengan catatan masa, jarak atau ketinggian yang mereka lakukan.
“Untuk melihat (sama ada) atlet itu gagal atau tidak, kita perlu melihat periodisasi yang mereka buat, di mana sasaran utama contoh untuk Sukan Asia, kalau tiada pencapaian, maka, barulah kita boleh kata ia sebagai gagal,” ujarnya.
Beliau berkata, Terbuka Singapura mampu menjadi platform terbaik bagi membantu jurulatih menilai prestasi sebenar atlet di bawah bimbingan mereka dan apa yang perlu ditambah atau dikurangkan di dalam sesi latihan kelak.
Tambahnya, amat penting pendedahan yang atlet negara terima sebelum Sukan Asia mampu memberi daya saing terbaik buat mereka kerana temasya tersebut memiliki status yang cukup tinggi di rantau Asia.-UTUSAN










