Duplantis gagal pecah rekod dunia 

Duplantis gagal pecah rekod dunia 

Armand Duplantis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAOXING: Armand Duplantis gagal memperbaharui rekod dunia miliknya walaupun sekali lagi membuktikan dalam kelas tersendiri menjuarai acara lompat bergalah Liga Berlian Shanghai, semalam.

Atlet Sweden berusia 26 tahun itu terlebih dahulu mengesahkan kemenangan selepas melepasi ketinggian 6.12 meter (m) dengan penuh bergaya sebelum cuba memadam rekod dunianya sendiri 6.31m menerusi percubaan pada 6.32m.

Bagaimanapun, cubaan mencipta sejarah buat kali ke-16 tidak kesampaian apabila Duplantis gagal dalam ketiga-tiga percubaan meskipun hampir berjaya pada dua lompatan awal.

Meskipun kecewa gagal memperbaharui rekod dunia, dominasi Duplantis tetap tidak tergugat apabila pencabar terdekatnya, Kurtis Marschall sekadar menamatkan saingan dengan catatan 5.80m.

“Percubaan untuk rekod dunia itu sebenarnya agak baik tetapi saya rasa larian dan kelajuan ketika membuat pendekatan masih boleh diperbaiki.

“Apabila saya dapat menyusun semula tenaga dan ritma dengan lebih baik, saya percaya lompatan itu akan hadir juga nanti,” kata Duplantis.

Sementara itu, pelari Afrika Selatan, Gift Leotlela mencuri tumpuan apabila memenangi acara 100m lelaki dengan catatan 9.97 saat (s) untuk meraih kemenangan sulung Liga Berlian dalam kariernya.

Leotlela menewaskan Ferdinand Omanyala dan Kenny Bednarek dalam penamat dramatik, manakala jaguh Kenya, Faith Kipyegon pula mengungguli acara 5,000m wanita dengan catatan terbaik dunia musim ini, 14 minit 24.14s. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN