Azeem bantu Auburn juara 4x100m  

Azeem bantu Auburn juara 4x100m  

Muhammad Azeem Fahmi bantu Universiti Auburn menjuarai acara 4x100 meter (m) pada Kejohanan SEC di Auburn, Amerika Syarikat (AS), semalam. - FB AZEEM FAHMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekecewaan raja pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dalam acara individu tidak berpanjangan apabila kembali bangkit membantu Universiti Auburn menjuarai acara 4×100 meter (m) pada Kejohanan SEC di Auburn, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Selaku tuan rumah, Azeem yang bergandingan bersama Kayinsola Ajayi, Austin Kresley dan Tyler Davis tampil cemerlang membawa kuartet Auburn melintasi garisan penamat dengan catatan 38.07 saat (s) untuk menghadiahkan emas penuh bergaya buat universiti berkenaan.

Kejayaan itu hadir hanya sehari selepas atlet kelahiran Teluk Intan, Perak tersebut tersingkir dalam pusingan kelayakan saringan keempat 100m apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan 10.31s.

Namun, karakter sebenar Azeem kembali terserlah apabila dia bangkit mengetuai aksi cemerlang Auburn untuk menewaskan Universiti Negeri Louisiana yang dibarisi Jeremiah Walker, Jaiden Reid, Shakeem McKay dan Joshua Caleb (38.35s) dan atlet Universiti Tennessee, Traunord Folson, Davonte Howell, T’Mars McCallum dan Elijah Clark (38.51s) dalam final penuh sengit.

Azeem menerusi laman sosial X berkata, kemenangan ini menjadi istimewa buatnya selepas Kejohanan SEC ini yang terakhir susulan pengajiannya di Universiti Auburn tamat tahun ini.

“Juara SEC. Kejohanan SEC terakhir ini istimewa buat saya,” kata Azeem ringkas dalam laman sosial X itu.

Lebih menarik, kemenangan di Auburn itu menjadi gelaran ketiga kuartet berkenaan musim ini selepas turut menjuarai Kejohanan Jemputan Yellow Jacket di Atlanta menerusi catatan 39.75s dan East Coast Relays di Jacksonville awal bulan ini dengan masa 38.41s.

Malah, rentak cemerlang Azeem dalam acara lari berganti-ganti sebenarnya sudah bermula sejak musim lalu apabila dia membantu Auburn menjuarai tiga kejohanan termasuk mempertahankan gelaran Persatuan Sukan Kolej Kebangsaan (NCAA) di Eugene sekali gus muncul atlet Malaysia pertama memenangi emas berturut-turut kejohanan berprestij itu.

Pada 2024 juga, Azeem turut memainkan peranan penting membantu Auburn menjuarai Kejohanan Jemputan Yellow Jacket dengan catatan 38.74s serta Tom Jones Memorial menerusi masa 38.64s.

Lebih membanggakan, perjalanan cemerlang atlet berusia 22 tahun itu bersama Auburn bermula sejak musim pertamanya pada 2023 apabila dia meraih gelaran sulung acara 4x100m di Kejohanan Jemputan Cameron Burrell Alumni di Houston dengan catatan 40.6s.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN