Pemandu warga Bangladesh antara maut nahas empat kenderaan

Pemandu warga Bangladesh antara maut nahas empat kenderaan

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga lori dan sebuah pikap di Kilometer (KM) 10.4 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dari arah Tol Ayer Panas menghala ke Ampang dekat sini, semalam.

Si mati ialah warga tempatan yang juga pemandu lori serta pemandu pikap warga Bangladesh.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.43 petang itu, sebuah lori berhenti di lorong tengah akibat kerosakan enjin sebelum dirempuh Mitsubishi Triton dari arah belakang.

“Sebuah lagi lori berhenti bagi memberi bantuan, namun lori lain yang datang dari arah belakang dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar semua kenderaan di lokasi kejadian.

“Dua lelaki masing-masing berusia 52 tahun dan 53 tahun maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zamzuri berkata, kedua-dua mangsa berada di luar kenderaan ketika kejadian, sebelum tersepit dan mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan.

“Tiga lagi individu iaitu dua lelaki berusia 43 dan 35 tahun serta seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun cedera dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu lori terakhir mengawal kenderaan sehingga melanggar kenderaan yang berhenti di lorong tengah.

“Ujian saringan pernafasan (EBA) terhadap pemandu terbabit didapati negatif manakala ujian saringan air kencing masih dalam tindakan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-20719999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN