GOMBAK: Model persaraan yang lebih fleksibel mengikut kapasiti dan keupayaan warga emas perlu diwujudkan bagi mengelakkan mereka ‘dipaksa’ menamatkan perkhidmatan oleh undang-undang.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Ahmad Azam Ab. Rahman berkata, ia bagi memastikan golongan warga emas yang masih produktif dan mempunyai keupayaan fizikal serta mental diberi pilihan untuk terus berkhidmat atau sebaliknya.
Katanya, isu itu perlu diberi perhatian serius susulan pengumuman kerajaan baru-baru ini yang mengekalkan had umur persaraan penjawat awam pada usia 60 tahun, sekali gus mengetepikan cadangan awal untuk menaikkan had umur persaraan wajib kepada 65 tahun menjelang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Data rasmi menunjukkan purata jangka hayat rakyat Malaysia kini mencecah 73 tahun bagi lelaki dan 78 tahun bagi wanita.
“Ini bermakna, penjawat awam yang bersara wajib pada usia 60 tahun memerlukan dana pesaraan yang mencukupi untuk menampung kelangsungan hidup bagi tempoh sekurang-kurangnya 13 hingga 18 tahun selepas persaraan.
“Sekiranya mereka tidak mempunyai persediaan kewangan yang kukuh, amat sukar untuk golongan ini mencari pekerjaan baharu apabila usia sudah mencecah 60 tahun,” katanya ketika berucap dalam ‘Sidang Pakar 2.0 Pemerkasaan Warga Emas: Ke Arah Keadilan Sosial Menjelang 2030’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini semalam.
Sidang itu dihadiri 100 peserta yang terdiri daripada wakil-wakil akademik, agensi kerajaan, pemimpin-pemimpin badan bukan kerajaan dan aktivis dalam isu warga emas serta pengamal undang-undang.
Ahmad Azam berkata, walaupun Malaysia diunjurkan bakal mencapai status negara tua menjelang 2036 iaitu mengalami kelewatan selama enam tahun berbanding ramalan awal pada 2030, perubahan garis masa itu tidak sepatutnya membuatkan negara leka.
Katanya, ruang lebih luas perlu diberikan untuk melakukan persediaan yang rapi dan komprehensif bagi mendepani cabaran sebuah negara menua.
“Generasi tua hari ini yang berambut putih jangan sesekali dianggap sebagai satu liabiliti kepada negara. Mereka adalah golongan yang mempunyai kuasa dan kebijaksanaan yang terhasil daripada pengalaman,” katanya. – UTUSAN










