Mula melebarkan sayapnya dalam dunia keusahawanan, penyanyi, Nabila Razali meluahkan rasa syukur apabila keputusannya itu mendapat restu suami tercinta, Nik Iruwan Nik Iruwan.
Siapa sangka, dalam kesibukannya mencipta nama sebagai anak seni, di samping menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu, Nabila kini merupakan Rakan Strategik Pemasaran sebuah jenama minuman buah-buahan, Bliss.
Menurut Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali, dia enggan sekadar menjadi wajah promosi, sebaliknya mahu memahami selok-belok operasi dan turut menyumbang idea kepada pembangunan sesebuah jenama hasil jalinan usaha sama.
“Alhamdulillah, suami saya sangat menyokong dan memahami. Memandangkan ini merupakan kali pertama saya menjalinkan kerjasama dalam bentuk usaha sama seperti ini, sudah tentu saya mendapatkan pandangan suami terlebih dahulu.
“Dia memberikan sokongan sepenuhnya apabila saya memaklumkan hasrat untuk bekerjasama dengan jenama tersebut. Dia turut memberikan beberapa pandangan yang saya sampaikan kepada pihak jenama itu.
“Alhamdulillah, mereka sangat terbuka menerima sebarang cadangan dan mereka juga mengalu-alukan kehadiran saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pun begitu, penyanyi lagi Peluang Kedua itu turut menegaskan biarpun dirinya kini mula aktif dalam menguruskan perniagaan, dia tidak pernah terfikir untuk memperlahankan kerjaya seninya.
“Kerjaya utama saya tetap sebagai penyanyi. Saya sering berkongsi perkara ini dalam setiap temu bual kerana menyanyi merupakan minat saya sejak kecil.
“Apa sahaja tanggapan atau kata-kata orang terhadap saya tidak pernah mengganggu kerana saya benar-benar mencintai bidang nyanyian.Apa pun yang berlaku, saya akan terus menyanyi.
“Buat masa ini, fokus saya masih lagi dalam bidang nyanyian. Pada masa sama, saya percaya penglibatan dalam bidang keusahawanan sedikit sebanyak membantu mematangkan diri saya sebagai seorang wanita,” kongsinya.

Orang sekeliling sumber kekuatan
Mengakui untuk menggalas segala tanggungjawab dalam satu masa bukan sesuatu yang mudah, Nabila bagaimanapun bersyukur dikelilingi individu yang sentiasa memahami dan membantu melancarkan setiap urusannya.
Menurutnya, sokongan daripada suami, ibu bapa serta pasukan pengurusan menjadi kekuatan terbesar untuk memastikan jadual hariannya sentiasa tersusun tanpa menjejaskan tanggungjawab terhadap keluarga.
“Hakikatnya memang tidak mudah. Namun Alhamdulillah, saya dikelilingi oleh insan-insan yang sangat membantu dan memahami. Ibu bapa saya memahami kerjaya yang saya ceburi, begitu juga suami yang sentiasa memahami cara dan waktu kerja saya.
“Pasukan pengurusan saya sentiasa membantu menyusun jadual supaya semuanya berjalan dengan teratur. Pengurus saya juga sentiasa mengetahui apa yang terbaik untuk saya pada setiap waktu.
“Sejujurnya, jika tiada mereka di sisi, saya mungkin tidak mampu memikul semua tanggungjawab yang ada hari ini,” jelasnya.
Dalam kesibukan memenuhi pelbagai komitmen, Nabila tetap meletakkan aspek kesihatan sebagai keutamaan kerana baginya, tubuh yang sihat adalah kunci untuk terus memberikan komitmen terbaik dalam setiap bidang yang diceburi.
“Jika ditanya dari mana saya memperoleh tenaga, jawapannya ialah melalui pemakanan yang baik, suplemen yang sesuai serta gaya hidup sihat. Walaupun sibuk, saya tetap berusaha meluangkan masa untuk menjaga kesihatan.
“Saya sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan dan sekiranya berasa kurang sihat, saya akan segera mendapatkan rawatan supaya sentiasa berada dalam keadaan terbaik untuk bekerja.
“Saya amat bersyukur kerana pasukan pengurusan sentiasa menjaga kebajikan saya. Kami bekerja sebagai satu pasukan dan sentiasa mengamalkan komunikasi dua hala,” ujarnya.










