Seni arca merupakan satu cabang seni visual yang berasaskan penghasilan karya dalam bentuk tiga dimensi sama ada melalui ukiran, binaan, acuan mahupun gabungan pelbagai bahan dan teknik.
Berbeza dengan seni dua dimensi seperti lukisan atau catan, seni arca mempunyai keunikan tersendiri kerana ia boleh dilihat dari pelbagai sudut pandang dan sering berinteraksi secara fizikal dengan persekitarannya.
Artis arca, Dr. Rosli Zakaria berkata, seni arca perlu dilihat sebagai satu bentuk bahasa visual yang hidup serta membawa makna yang luas kepada masyarakat merangkumi pelbagai isu yang diketengahkan.

“Seni arca ialah satu seni hidup yang mempunyai maksud tersirat dan tersurat selain ia dilihat mampu berinteraksi dengan masyarakat serta membawa maksud yang merangkumi isu kemanusiaan, budaya dan perubahan sosial.
Minat Terhadap Seni Sejak Kecil
Menurut Dr. Rosli, kecenderungan terhadap seni mula berkembang sejak usia muda apabila dia gemar melukis dan menghasilkan pelbagai bentuk karya menggunakan bahan yang terdapat di sekelilingnya.
Minat yang bermula secara sederhana itu akhirnya membuka laluan kepada perjalanan panjang dalam bidang seni visual sehingga membawanya ke institusi pengajian tinggi dan seterusnya menjadi pendidik.
Sepanjang berkhidmat sebagai pensyarah, Dr. Rosli turut aktif dalam menghasilkan arca awam di pelbagai lokasi di seluruh Malaysia serta di beberapa negara seperti China, Indonesia, Vietnam dan India.

“Terdapat beberapa arca awam yang dihasilkan oleh saya juga dan boleh didapati di beberapa tempat seperti di Putrajaya, Kuala Lumpur, Johor dan Melaka,” katanya.
Semangatnya dalam mendidik masyarakat tidak pernah berhenti malah merasakan terdapat kewajipan dalam meneruskan legasi seni arca ini walaupun tidak lagi bergelar seorang pendidik.
Makna Di Sebalik Karya
Bagi Dr Rosli, dia percaya setiap arca merupakan medium penceritaan berdasarkan daripada pengalaman hidup pengarca, pemerhatian terhadap masyarakat serta isu-isu semasa yang berlaku di sekeliling.
Katanya, setiap bentuk, bahan dan susunan yang digunakan dalam karya bukan sekadar elemen estetik sebaliknya membawa simbolisme yang mengajak khalayak berfikir dan mentafsir mesej yang ingin disampaikan.
Menurutnya, bentuk arca yang orang lihat itu hanyalah fizikalnya tetapi di sebaliknya ada mesej, isu dan pengalaman hidup yang ingin dikongsikan kepada masyarakat.
Antara karya yang paling dekat di hati Dr. Rosli ialah arca Saripah yang dihasilkan pada tahun 1993 ketika isterinya mengandungkan anak kedua mereka.

Melalui arca itu, dia menekankan simbol ketabahan, kasih sayang dan kekuatan seorang ibu yang sering dipandang sebagai sesuatu yang biasa sedangkan hakikatnya penuh dengan pengorbanan.
Selain daripada itu, beliau turut menghasilkan karya yang menyentuh isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa antaranya berkaitan konflik di Palestin.
Kopi Arca
Usaha bagi memperkenalkan seni arca kepada masyarakat tidak terhenti di galeri sebaliknya diteruskan dengan penubuhan Kopi Arca yang menggabungkan seni dan komuniti dalam satu persekitaran santai.
Idea itu direalisasikan bersama anaknya yang merasakan dengan wujudnya Kopi Arca akan lebih ramai yang tertarik untuk mendekati seni berkenaan.
Menurut pemilik Kopi Arca, Alif Syazwan berkata, konsep menggabungkan kopi dengan seni arca memberikan pengalaman yang berbeza kepada setiap pelanggan kerana dapat menikmati kopi dan melihat karya seni pada masa yang sama.

“Ada pelanggan yang teruja apabila mengetahui terdapat galeri seni di tingkat atas malah kebanyakkan yang mengunjungi galeri seni akan singgah minum kopi sambil berbual tentang karya seni yang dipamerkan,” katanya.
Bagi Alif, pendekatan tersebut berjaya membuka ruang kepada masyarakat yang sebelum ini tidak pernah menjejakkan kaki ke galeri seni.
Bagi mengekalkan identiti Kopi Arca, kebanyakkan dekorasi dalaman kafe dihasilkan daripada barangan terpakai dan kitar semula selari dengan konsep seni yang dibawa oleh bapanya.
Alif berkata, setiap sudut di Kopi Arca dirancang supaya menjadi ruang interaktif yang menggalakkan pengunjung menghargai kreativiti termasuk penyediaan Ruang Conteng.










