KEPUTUSAN Pakatan Harapan (PH) meletakkan Datuk Seri Aminuddin Harun bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi antara yang menarik perhatian menjelang bermulanya secara rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu ini.
Walaupun khabar angin mengenai perpindahan itu sudah lama berlegar, malah Utusan Malaysia pernah melaporkannya lebih sebulan lalu, pengumuman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH tentang kedudukan Aminuddin tetap menimbulkan persoalan.
Mengapakah Menteri Besar Negeri Sembilan itu sanggup meninggalkan DUN Sikamat yang diwakilinya sejak 2008?
Pertanyaan adalah sama ada keputusan tersebut dibuat atas kehendak Aminuddin sendiri atau merupakan strategi yang dirangka oleh kepimpinan parti.
Linggi bukanlah kerusi yang mudah untuk ditawan. Kawasan itu tradisinya dimenangi oleh Barisan Nasional (BN), sekali gus menjadikan keputusan meletakkan Aminuddin di situ sebagai satu pertaruhan berisiko.
Aminuddin sendiri mengakui perkara itu ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon PH malam kelmarin. Beliau berkata, Linggi bukan kerusi yang selamat buatnya kerana BN telah memenanginya sekian lama.
Bagaimanapun, menurut sumber, keputusan itu sebenarnya merupakan hasrat Aminuddin sendiri. Strateginya mudah iaitu Linggi merupakan antara kerusi yang mempunyai potensi untuk dirampas PH khususnya oleh PKR.
Kemenangan di Linggi akan membantu gabungan itu mencapai sasaran menang sekurang-kurangnya 19 daripada 36 kerusi DUN bagi membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.
Menurut sumber itu lagi, peluang untuk menawan Linggi lebih cerah jika PH mempertaruhkan calon berprofil tinggi atau heavyweight.
Dalam konteks itu, tiada calon yang lebih sesuai daripada Aminuddin sendiri. Selain penyandang jawatan Menteri Besar, beliau juga merupakan Ahli Parlimen Port Dickson yang tentunya mempunyai pengaruh di kawasan berkenaan.
Namun, pertaruhan itu datang dengan risiko yang besar.
Kekalahan di Linggi bukan sahaja akan menjejaskan peluang PH menambah kerusi, malah akan memberi kesan kepada kedudukan calon Menteri Besar.
Sehubungan itu, kemenangan Aminuddin di Linggi menjadi amat penting. Malah, Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook turut menegaskan bahawa Aminuddin merupakan satu-satunya calon Menteri Besar PH bagi Negeri Sembilan.
DUN Linggi mempunyai 20,677 pengundi berdaftar dengan komposisi 62 peratus Melayu, 17 peratus India, 16 peratus Cina dan lima peratus kaum lain.
Pada PRN 2023, kerusi itu dimenangi calon BN, Datuk Mohd. Faizal Ramli yang memperoleh majoriti 1,461 undi. – UTUSAN










