PETALING JAYA: Meskipun langkah Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) terhenti di suku akhir, ketua jurulatihnya, Xisco Munoz tetap berpuas hati dengan komitmen dipamerkan anak buahnya ketika memberi tentangan hebat kepada juara bertahan, Al-Ahli, kelmarin.
Beraksi di gelanggang lawan di King Abdullah Sports City, JDT tidak gentar berdepan skuad kendalian Matthias Jaissle, malah berjaya memaksa pasukan tuan rumah bekerja keras sebelum tewas 2-1.
“Terima kasih kepada pemain yang memerah keringat memberi saingan kepada kelab yang berstatus juara bertahan itu dan kami tidak bertuah untuk meraih keputusan positif.
“Apapun ia memberi pengalaman terbaik buat kami untuk mempertingkatkan lagi kualiti permainan pada masa depan dan saya ingin ucapkan tahniah kepada Al-Ahli yang memenangi perlawanan itu.
“Inilah bola sepak pasukan lawan memiliki lebih kualiti berbanding kami terutama di posisi serangan apabila mampu menjaringkan gol ketika kami agak sukar untuk mencipta jaringan walaupun memiliki beberapa peluang pada 10 minit terakhir babak kedua,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut, Al-Ahli yang menguasai sebahagian besar permainan dikejutkan dengan gol sendiri Ali Majrashi pada minit ke-19, bagi memberi kelebihan awal kepada JDT.
Namun, kelebihan itu tidak kekal lama apabila Al-Ahli bangkit menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama menerusi tandukan Franck Kessie hasil sepakan sudut Galeno, meskipun beraksi dengan 10 pemain.
Memasuki separuh masa kedua, tekanan berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Galeno sekali lagi menjadi watak penting dengan jaringan kemenangan pada minit ke-54.
Munoz menegaskan kekalahan itu bukan penamat kepada perjuangan Harimau Selatan, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk bangkit lebih kuat.
“Pengalaman berharga ini akan membantu pasukan tampil lebih matang dan kompetitif pada musim akan datang,” ujarnya.-UTUSAN










