MOGSC perkasa sokongan, bantu ahli hadapi tekanan kos

MOGSC perkasa sokongan, bantu ahli hadapi tekanan kos

MOGSC
Zahris Sham Abu Musa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC) mempergiat langkah proaktif bagi membantu syarikat penyedia perkhidmatan minyak, gas dan tenaga (OGSE) tempatan menangani tekanan kos dan cabaran operasi susulan krisis tenaga global.

Naib Presidennya, Zahris Sham Abu Musa berkata, antara usaha utama yang dilaksanakan termasuk membangkitkan isu peningkatan kos operasi bersama industri dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi pertimbangan bayaran balik kos tambahan.

Selain itu, katanya, MOGSC turut menggesa percepatan proses pembayaran bagi membantu memperkukuh aliran tunai syarikat yang terjejas.

“Dalam jangka panjang, MOGSC bekerjasama menambah baik struktur kontrak melalui pendekatan ‘debundling’ kos bahan bagi meningkatkan ketelusan dan fleksibiliti dalam pelarasan kos.

“Inisiatif tersebut penting memandangkan pemain industri kini berdepan peningkatan mendadak dalam kos operasi dan perolehan aset, sekali gus memberi tekanan kepada margin keuntungan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, kebanyakan kontrak minyak dan gas di Malaysia adalah berasaskan jangka panjang dengan harga tetap, menyebabkan syarikat terpaksa menyerap kenaikan kos tanpa peningkatan hasil.

“Akibatnya, pemain industri tempatan berdepan peningkatan mendadak dalam kos operasi dan perolehan aset,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, MOGSC turut memainkan peranan memudahkan akses pembiayaan kepada ahlinya melalui kerjasama dengan institusi kewangan dan agensi kerajaan.

“Antaranya termasuk pelaksanaan Program Pembiayaan Vendor (VFP) yang membantu syarikat mendapatkan pembiayaan lebih fleksibel dalam keadaan pasaran mencabar,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, cabaran utama yang dihadapi ahli MOGSC kini tertumpu kepada tiga aspek iaitu peningkatan kos operasi, gangguan rantaian bekalan dan tekanan aliran tunai.

“Ketiga-tiga faktor ini saling berkait dan memberi tekanan berterusan kepada daya tahan kewangan syarikat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat turut menjejaskan pengeluaran global dan dijangka mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, katanya, projek-projek di bawah Petronas masih berjalan seperti dijadualkan tanpa tanda pembatalan berskala besar, sekali gus membantu mengekalkan kestabilan industri.

“Malah, dalam jangka sederhana, kenaikan harga minyak dijangka merangsang aktiviti huluan dan membuka peluang baharu kepada kontraktor tempatan, walaupun kesannya tidak berlaku serta-merta.

“Dalam tempoh peralihan ini, risiko penangguhan projek tetap wujud, terutama bagi projek yang terkesan oleh peningkatan kos sehingga menjadi kurang ekonomik,” katanya.

Dari sudut tenaga kerja, beliau berkata, risiko kehilangan pekerjaan masih terkawal dengan lebih 600 syarikat ahli melibatkan kira-kira 60,000 tenaga kerja di bawah MOGSC serta anggaran keseluruhan 109,000 pekerja dalam industri.

“Kesinambungan projek sedia ada membantu mengekalkan kestabilan pekerjaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN