Perkasa gesa Pesta Air 2026 di Bukit Bintang dibatalkan

Perkasa gesa Pesta Air 2026 di Bukit Bintang dibatalkan

RAIN RAVE WATER MUSIC FESTIVAL 2026
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa penganjuran Pesta Air 2026 yang dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 30 April hingga 2 Mei di kawasan tumpuan pelancong, Bukit Bintang dibatalkan dengan serta-merta.

Pemangku Presidennya, Borhan Ahmad Zakaria berkata, penganjuran acara tersebut melibatkan isu maruah negara, adab masyarakat serta keutamaan rakyat yang didakwa semakin terabai.

Beliau turut mempersoalkan penganjuran acara tersebut ketika rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup serta pelbagai isu asas lain termasuk bekalan air dan kesesakan jalan raya.

“Ketika rakyat bergelut dengan kehidupan harian, penganjuran karnival seperti ini dilihat sebagai pembaziran air, wang dan masa.

“Konsep pesta air yang melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita secara terbuka bertentangan dengan nilai ketimuran serta norma masyarakat Malaysia.

“Malaysia bukan tempat pesta maksiat. Acara seperti ini hanya membuka ruang kepada perkara tidak bermoral dan tidak mencerminkan jati diri rakyat negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, penganjuran acara berkenaan berpotensi menjejaskan kelancaran lalu lintas, mencetuskan pencemaran serta memberi kesan kepada peniaga kecil dan penduduk sekitar.

Sehubungan itu, beliau menuntut agar penganjuran Pesta Air 2026 dibatalkan serta-merta dan menyeru kerajaan memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat berbanding penganjuran acara hiburan.

“Perkasa tidak menolak hiburan yang sihat dan membina, namun menolak sekeras-kerasnya acara yang mengabaikan sensitiviti agama, meniru budaya luar dan tidak selari dengan adat resam tempatan,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN