KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin untuk memindahkan lima pertuduhan rasuah yang dihadapinya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin membuat ketetapan itu selepas mendapati kes itu tidak melibatkan sebarang isu undang-undang yang baharu, rumit atau memerlukan tafsiran khas oleh mahkamah yang lebih tinggi.
Menerusi penghakiman ringkas yang dibacakan, Hakim itu turut menyatakan, tidak wujud keadaan luar biasa untuk mewajarkan kes berkenaan menyimpang daripada prosedur biasa.
“Sehubungan itu, mahkamah sewajarnya mengguna pakai pendekatan biasa. Kes ini tidak melibatkan kepentingan awam yang signifikan, isu undang-undang yang baharu atau keadaan mendesak yang memerlukan campur tangan segera.
“Penubuhan mahkamah khas rasuah oleh kerajaan menunjukkan bahawa terdapat mekanisme sedia ada untuk mempercepatkan pelupusan kes-kes tertentu di peringkat mahkamah bawahan. Justeru, hujahan bahawa kes ini memerlukan laluan khas atau penyelesaian segera adalah tidak berasas.
“Sekiranya terdapat isu Perlembagaan yang ingin dibangkitkan, perkara tersebut masih boleh dikemukakan melalui saluran rayuan biasa tanpa memerlukan sebarang pengecualian prosedur,” katanya.
Pada prosiding hari ini, Shamsul Iskandar diwakili peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan.
Pada 4 Februari lalu, Shamsul Iskandar memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi atas alasan antaranya terdapat persoalan dan isu undang-undang yang luar biasa dan melibatkan keperlembagaan peruntukan-peruntukan di bawah akta SPRM 2009 dan hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan seterusnya Mahkamah Persekutuan.
“Kes ini merupakan kes kepentingan awam yang melibatkan pertuduhan-pertuduhan ke atas mantan Setaiusaha Politik Kanan Perdana Menteri selain permohonan ini tidak memprejudiskan mana-mana pihak,” kata dokumen itu.
Shamsul Iskandar turut memaklumkan pertuduhan-pertuduhan terhadapnya, melibatkan persoalan-persoalan undang-undang dan isu-isu yang kompleks.
Ia antaranya pemakaian Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) bagi kes-kes melibatkan sumbangan politik, pentafsiran istilah undang-undang yang teknikal di mana kepakaran dan pengalaman Hakim Mahkamah Tinggi akan memainkan peranan penting semasa perbicaraan
Pada 4 Disember 2025, bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima wang tunai RM100,000 daripada ahli perniagaan Albert Tei sebagai dorongan untuk membantu syarikat Tei mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Beliau juga dituduh menerima RM40,000 secara tunai bagi tujuan sama, serta perabot dan peralatan elektrik masing-masing bernilai RM14,580 dan RM22,249.
Keesokan harinya, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima RM64,924 dalam bentuk bayaran sewa daripada Tei sebagai dorongan untuk membantu firma yang mempunyai kepentingan Tei mendapatkan kelulusan sama.
Kes di Shah Alam kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama pertuduhan terdahulu. – UTUSAN










