KUALA LUMPUR: Seorang bekas Ketua Unit Komunikasi Korporat sebuah kementerian yang sebelum ini didakwa memperoleh suapan RM5,268 dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Keputusan itu dibuat Hakim Suzana Hussin selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menarik balik kedua-dua pertuduhan yang dihadapi tertuduh, Nur Fazreen Mohamad Kamal, 45, selepas wanita itu membayar kompaun.
“Memandangkan tertuduh telah membuat pembayaran kompaun pada 12 Mei 2026 sebagaimana yang telah ditawarkan oleh MACC (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), jadi mahkamah membenarkan permohonan pihak peguam bela, maka mahkamah memerintahkan tertuduh untuk dilepas dan dibebaskan,” kata hakim itu.
Bagaimanapun, jumlah kompaun yang telah dibayar oleh Nur Fazreen tidak dinyatakan dalam prosiding hari ini.
Mengikut pertuduhan, Nur Fazreen didakwa memperoleh suapan RM5,268 daripada Mawarni Mansor, 45, untuk sebahagian bayaran aksesori emas seberat 39.30 gram.
Bayaran tersebut dibuat secara dalam talian daripada akaun bank milik syarikat Tulip Event Exhibition Enterprise (Tulip Event) ke akaun sebuah kedai emas, KB Gold 2 Enterprise.
Suapan itu adalah sebagai upah untuk Nur Fazreen yang mengesahkan Borang Permohonan Pesanan Kerajaan berhubung kerja perkhidmatan sewaan peralatan pameran Trenchless Asia 2023 bernilai RM49,950 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) kepada syarikat tersebut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Bukit Bintang, di sini pada 11 Mei 2023 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima wang RM5,268 tanpa balasan yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, A. Selvam berkata, tertuduh telah menerima tawaran kompaun di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 pada 7 Mei selepas agensi terbabit menerima representasi yang dikemukakan.
“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah supaya pertuduhan utama di bawah Seksyen 17(a) dan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh ditarik balik,” katanya.
Mendengar perkara itu, tertuduh diwakili peguam bela, T. Sivaranjeni kemudian memohon mahkamah melepaskan dan membebaskan Nur Fazreen. – UTUSAN










