JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia pada Rabu telah menahan bekas ketua program makanan sekolah percuma negara itu, Dadan Hindayana.
Beliau ditahan selepas skim itu dipalit dengan isu keracunan makanan besar-besaran dan dakwaan rasuah hanya sehari selepas dipecat daripada jawatannya.
Program pembekalan makanan percuma itu merupakan polisi utama bagi kempen pilihan raya Presiden Prabowo Subianto pada 2024 lalu.
Prabowo telah memecat Dadan, seorang pakar entomologi yang menerajui Agensi Pemakanan Kebangsaan sejak penubuhannya pada Ogos 2024 bersama-sama dua orang timbalannya pada Selasa.
Kesemua tiga individu terbabit kemudian ditahan di Jakarta.
Wakil Pejabat Peguam Negara (AGO), Syarief Sulaeman Nahdi memaklumkan kepada pemberita bahawa mereka berdepan dengan pertuduhan melakukan jenayah dalam pengurusan program berkenaan.
Dadan didakwa telah mempengaruhi proses pemilihan beberapa yayasan yang menguruskan dapur program itu.
Beliau didakwa berbuat demikian walaupun yayasan-yayasan berkenaan tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan.
Syarief turut menambah bahawa Dadan didapati memiliki yayasan-yayasan tersebut melalui pihak ketiga.
Selain itu, beliau juga didakwa terlibat dalam isu penyelewengan perolehan barangan yang harganya telah dinaikkan termasuk pembelian lebih 21,000 motosikal elektrik, 32,000 pasang kasut dan 5,400 buah televisyen.
Sebelum penahanan dibuat, pihak berkuasa terlebih dahulu telah menyerbu pejabat agensi pemakanan berkenaan dan kediaman ketiga-tiga defendan.
Dua sumber yang enggan dikenali mendedahkan kepada Reuters bahawa pegawai dari AGO telah menggeledah ibu pejabat agensi tersebut pada jam 2 pagi waktu tempatan pada Rabu dengan menaiki beberapa buah kenderaan.
Premis bangunan berkenaan dilaporkan masih ditutup sepenuhnya sehingga jam 11 pagi waktu tempatan menyebabkan kakitangan yang sepatutnya melapor diri untuk bertugas tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan pejabat.
Pihak kerajaan sebelum ini telah memperuntukkan bajet sekurang-kurangnya AS$15 bilion (RM60 bilion) bagi program bercita-cita tinggi ini yang menyasarkan untuk menyediakan makanan kepada sekurang-kurangnya 82.9 juta kanak-kanak dan golongan ibu hamil serta ibu menyusu, iaitu merangkumi hampir satu pertiga daripada jumlah populasi negara terbabit.
Bagaimanapun, barisan pelabur yang bimbang dengan pelan perbelanjaan besar Prabowo itu sebelum ini melahirkan rasa khuatir bahawa ambang defisit fiskal negara mungkin akan terjejas ekoran pelaksanaan program itu. Malah, skim ini merupakan antara item bajet terawal yang dipotong oleh Jakarta dalam usaha untuk mengekang impak ekonomi ekoran krisis peperangan di Asia Barat.
Selain berdepan isu kewangan, skim mega ini turut dikaitkan dengan kes-kes keracunan makanan yang telah menjejaskan sekurang-kurangnya 33,000 orang kanak-kanak setakat April lalu. – AGENSI










