JAKARTA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) menahan Timbalan Menteri Imigresen dan Pemasyarakatan, Silmy Karim, menjadikan beliau pegawai tinggi kerajaan kedua yang dihadapkan dengan tuduhan rasuah dalam tempoh dua hari.
Penahanan tersebut dilakukan sehari selepas Pejabat Peguam Negara (AGO) menahan Dadan Hindayana, bekas ketua agensi yang menyelia program makanan percuma yang menjadi antara manifesto utama Presiden Prabowo Subianto.
Dadan dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah berkaitan tadbir urus dan perolehan program berkenaan, namun kedua-dua kes melibatkan pegawai tinggi ini dilaporkan tidak berkaitan antara satu sama lain.
Ketua KPK, Setyo Budiyanto memberitahu wartawan bahawa Silmy dinamakan sebagai suspek jenayah bersama tujuh individu lain atas dakwaan penglibatan dalam skim pemerasan ‘sistematik’ yang mengenakan bayaran bagi pengeluaran permit tinggal kepada pemohon asing.
Silmy mula disoal siasat di pejabat KPK sejak malam Rabu dan keluar kira-kira 10 jam kemudian pada pagi Khamis dengan memakai gari serta jaket oren yang menandakan statusnya sebagai suspek, sebelum dibawa ke pusat tahanan.
Jurucakap KPK, Budi menjelaskan bahawa perbuatan rasuah tersebut didakwa berlaku antara tahun 2023 dan 2024, iaitu ketika Silmy berkhidmat sebagai Pengarah Jeneral Hal Ehwal Imigresen di bawah pentadbiran bekas Presiden Joko Widodo.
Sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 2024, Prabowo telah berikrar untuk membanteras rasuah dan mengekang eksploitasi haram ke atas sumber asli Indonesia yang luas.
Dalam perkembangan berasingan pada Khamis, sebuah mahkamah di Indonesia menjatuhkan hukuman penjara empat tahun setengah terhadap bekas Timbalan Menteri Tenaga Kerja, Immanuel Ebenezer yang ditahan tahun lalu atas kesalahan rasuah berkaitan pemprosesan permit keselamatan.
Hukuman itu menjadikan beliau anggota kabinet Prabowo pertama yang menerima sabitan jenayah.
Pada April lalu, Ketua Ombudsman negara berkenaan turut ditahan hanya selepas enam hari dilantik kerana didakwa menerima rasuah daripada sebuah syarikat nikel tempatan. – AGENSI










