KUBANG PASU: Institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk terdedah kepada jenayah rasuah kerana menguruskan dana yang agak besar.
Timbalan Pengarah (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, PPj Syed Aswadi Syed Soffian berkata, pengurusan universiti juga mengendalikan aset, serta pelbagai proses perolehan.
Beliau berkata, pihak SPRM ada menerima aduan rasmi mengenai kejadian rasuah yang berlaku di peringkat menara gading, termasuk kes yang melibatkan sebuah universiti di negeri ini.
“Bagaimanapun universiti secara asasnya bukanlah sebuah ‘lubuk rasuah’ tetapi mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk terdedah kepada jenayah terbabit,” katanya ketika menjadi panel forum bertajuk ‘UA Lubuk Rasuah?’ di Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.
Forum dikendalikan Penasihat Undang-undang UUM, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed itu menampilkan panel yang mengupas realiti sebenar ekosistem kewangan dan risiko jenayah kolar putih di menara gading.
Pada 6 April lalu, Utusan Malaysia menyiarkan laporan berkaitan IPT yang sepatutnya menjadi pemangkin pembinaan integriti kini menjadi ‘lubuk rasuah’ apabila gejalanya menular secara senyap dalam ekosistem pendidikan negara.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kedah, Deputi Superintenden Nazaruddin Ibrahim berkata, majoriti jenayah kolar putih yang berlaku di institusi pendidikan berpunca daripada salah laku dalaman seperti tuntutan palsu, perolehan, dan tender projek.
Beliau berkata, kegiatan terbabit juga dipercayai berlaku disebabkan oleh ketiadaan pemantauan yang rapi oleh pihak sepatutnya.
“Rasuah akhirnya mudah berlaku apabila ada individu yang mula gelap mata dengan wang ringgit,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed mengakui, memang berlaku satu atau dua kes rasuah sebelum ini, tetapi ia sama sekali tidak menggambarkan universiti sebagai lubuk rasuah.
Menurutnya, sebahagian daripada masalah ini timbul disebabkan segelintir ketua jabatan yang tidak celik dalam hal-hal kewangan serta tata kelola kewangan.
“Saya sering mengingatkan supaya setiap ketua jabatan mestilah sentiasa berhati-hati, terutamanya ketika menandatangani sesuatu dokumen rasmi.
“Pada masa sama wujud juga cabaran besar dalam menguruskan persepsi masyarakat yang kadang-kala sengaja dimainkan oleh seseorang atau pihak tertentu yang mempunyai perasaan kurang senang terhadap pihak universiti,” katanya. – UTUSAN










