DUN Selangor: Kadar SSR babi lebih tinggi dari lembu

DUN Selangor: Kadar SSR babi lebih tinggi dari lembu

SSR babi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kadar keupayaan bekalan daging babi di Selangor ketika ini berada pada tahap 10 hingga 15 peratus dan akan berakhir selepas kesemua ladang-ladangnya ditutup serta tiada lagi lesen baharu dikeluarkan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, sebelum serangan penyakit demam babi Afrika (ASF), kadar sara diri (SSR) bagi pengeluaran babi lebih dua tahun lalu berada pada tahap 60 peratus.

Katanya, kadar tersebut menyamai bekalan ayam di negeri ini dan jauh lebih tinggi berbanding keperluan bekalan terhadap daging lembu sekitar lima peratus sementara 95 lagi diimport.

“Isu sebenarnya, pada satu ketika dua tahun lepas sebelum terkena wabak ASF, kita sebenarnya SSR bagi Selangor untuk daging babi sekitar 60 peratus, iaitu kita ada upaya (bekalan) dekat sama dengan ayam.

“Tetapi disebabkan penyakit dan sebagainya, ia turun ke tahap 10 hingga 15 peratus dan tentu akan berakhir selepas ini. Sebenarnya ketika itu kita sudah benarkan import,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan tambahan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Klang) yang sebelum itu bertanya mengenai keterjaminan bekalan makanan di negeri ini.

Malah, beliau turut bertanya sekiranya kerajaan negeri bercadang membuka ladang-ladang baharu.

“Saya juga memohon kerajaan negeri untuk berkongsi dengan dewan ini mengenai jumlah keperluan daging babi sebulan berbanding lembu, sekiranya wujud ketidaksamarataan di antara keperluan kedua-duanya.

“Adakah kerajaan negeri bercadang untuk membuka ladang-ladang babi yang baharu di lokasi baharu seperti Seri Serdang ataupun di Batu Tiga,” soalnya.

Bagaimanapun, Izham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah memberitahu Kerajaan Selangor membenarkan import sejak isu penularan wabak ASF di negeri ini.

“Sebenarnya ketika itu kita sudah benarkan import. Sebenarnya kita sudah benarkan lesen import babi hidup dari Sarawak sekitar 800 ekor seminggu. Cuma syaratnya ketat. Ia tidak boleh singgah di mana-mana, sampai di Selangor terus bawa ke pusat penyembelihan di Rawang, sampai di sana untuk jualan dan sebagainya.

“Dari Perak pun ada juga dibawa masuk, cuma kita ketatkan syarat dan sebagainya supaya tiada jangkitan penyakit dan sebagainya. Itu yang hidup,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN