SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San didakwa tidak berlaku adil apabila menggantung dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) selama tiga hari.
Penggantungan tersebut dibuat ke atas Afif Bahardin (PN-Taman Medan) dan Mohd. Rafiq Mohd. Abdullah (PN-Kuang) selepas kedua-duanya membangkitkan usul bagi merujuk Wong Siew Ki (PH-Seri Kembangan) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Usul tersebut didakwa berkaitan dengan tindakan mempertikai titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung larangan ternakan babi di negeri ini.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Speaker menyalahgunakan kuasanya untuk membuat keputusan menggantung Afif dan Mohd. Rafiq sebelum perkara itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
“Selaku ketua pembangkang, saya cuba mencari satu titik supaya keputusan speaker pada pagi tadi disemak semula sebab Taman Medan tidak membuat tuduhan ataupun hukuman, sekadar menggunakan peraturan mesyuarat untuk merujuk seorang ahli dewan.
“Ahli Dewan (Seri Kembangan) didapati melanggar Peraturan-Peraturan Tetap Mesyuarat (perlu dirujuk) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana itu juga dalam peraturan, tetapi Speaker menyalahgunakan kuasanya,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Selangor tertangguh lebih 20 minit apabila Afif bersama ADUN PN yang lain membangkitkan tindakan Speaker menolak usul supaya Siew Ki dirujuk kepada jawatankuasa terbabit.
Susulan penggantungan itu, kesemua ADUN pembangkang negeri ini bertindak meninggalkan dewan sementara sebagai tanda sokongan.
Dalam sidang akhbar tersebut, Afif mendakwa alasan Speaker menolak usul di bawah Peraturan-Peraturan Tetap Mesyuarat adalah tidak jelas dengan menyatakan mana-mana bahagian dalam ucapan Siew Ki tidak boleh diterima.
“Kenapa usul saya ditolak, dia (Speaker) mendapati usul cacat, tidak lengkap dan tidak boleh diperbaiki berdasarkan pemerhatian di bawah dan apa yang ditulis di dalam usul. Dia menyatakan saya tidak menyatakan bahagian mana kenyataan Siew Ki bercanggah dengan titah Sultan Selangor.
“Perkara itu sangat jelas, minggu lalu media turut melaporkan dengan jelas tentang isu tersebut. Tetapi, Speaker menolak (hujah), menolak usul itu. Apakah DAP lebih mula daripada titah tuanku. Saya tahu, faham Seri Kembangan sama parti dengan Speaker.
“Tetapi Speaker tak boleh ambil keputusan kerana sama parti. Kena tolaklah, tolak terus. Tetapi dia tak mahu mendengar, sebaliknya suruh saya duduk, kemudian membuang saya dari dewan,” tegasnya.
Dakwanya lagi, perkara yang diputuskan oleh Speaker pada hari ini dianggap cacat dan sebagai teladan yang buruk kepada DUN Selangor, sedangkan perkara sedemikian perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. – UTUSAN










