SHAH ALAM: Perjalanan ke tempat kerja seorang penunggang motosikal bertukar detik ngeri apabila ditetak di pada bahagian belakang kepala, lengan dan tangan oleh seorang lelaki di Lebuhraya Persekutuan dekat Seksyen 13, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa ditetak dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek berusia 43 tahun yang dihon kerana menghalang laluannya.
“Mangsa warga tempatan dalam perjalanan ke tempat kerja di Kuala Lumpur. Ketika melalui laluan motosikal, lelaki berusia 45 tahun menekan hon kepada suspek kerana menghalang laluan.
“Suspek yang juga warga tempatan kemudian tidak berpuas hati dan berhenti di tepi jalan sebelum menetak mangsa dengan menggunakan pisau pemotong daging,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Susulan kejadian, polis kemudian menahan suspek tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan. Mangsa pula dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-5583436 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya. – UTUSAN










