SHAH ALAM: Cubaan seorang wanita warga asing membawa bunga ganja seberat kira-kira 30 kilogram (kg) ke sebuah negara di Eropah melalui Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai transit gagal apabila bagasinya dirampas pada 23 April lalu.
Penemuan dadah itu oleh Polis Bantuan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang mencurigai dua bagasi ketika melalui mesin imbasan di terminal berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, susulan penemuan tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA menahan wanita berusia 24 tahun itu yang merupakan pemilik bagasi tersebut.
“Pemeriksaan ke atas bagasi tersebut menemukan 60 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat dipercayai bunga ganja yang dianggarkan bernilai RM2.4 juta. Turut di sita, wang tunai berjumlah 280 Pound Sterling (kira-kira RM1,500).
“Wanita terbabit pula berasal dari negara jiran dan bekerja sebagai pembantu restoran di sana. Suspek datang ke negara ini sebagai transit sebelum terbang ke Eropah dan segala kos bagi perjalanan tersebut ditanggung sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambahnya, hasil ujian air kencing negatif sebarang penggunaan dadah dan juga tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Jelas Shazeli, rampasan tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan 349 ketulan mampat bunga ganja seberat 183.7kg yang dirampas dipercayai untuk diedarkan ke luar negara melalui KLIA.
“Sebelum itu pada 21 April, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA menahan seorang wanita tempatan berusia 34 tahun di Mambau, Negeri Sembilan yang membawa kepada rampasan 289 ketulan mampat dipercayai bunga ganja seberat 153.7kg dalam 18 guni dekat sebuah rumah di Bandar Sri Sendayan.
“Wanita terbabit tidak bekerja, tiada rekod lampau dan ujian air kencing terhadapnya juga negatif. Polis turut menyita sebuah kereta Honda City bernilai kira-kira RM35,000 dan motosikal VMoto XDV 250 bernilai kira-kira 15,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya lagi, kedua-dua wanita itu masing-masing direman tujuh hingga 14 hari dan di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Dadah yang dirampas dianggarkan mampu menampung penggunaan sehingga 613,000 orang pada satu-satu masa berdasarkan anggaran 0.3 gram bagi setiap individu.
“Orang awam diingatkan agar tidak terlibat sebagai keldai dadah dengan menerima tawaran membawa bagasi atau barangan milik pihak lain tanpa mengetahui kandungannya. Jangan mudah terperdaya dengan janji upah lumayan kerana tindakan itu mengundang implikasi undang-undang yang serius,” tegasnya. – UTUSAN










