PETALING JAYA: Keadaan cuaca di Malaysia dijangka lebih lembap dalam tempoh seminggu akan datang dengan potensi hujan lebat, ribut petir serta angin kencang di kebanyakan kawasan.
Antara kawasan yang dijangka terjejas termasuk bahagian barat dan pedalaman Semenanjung seperti Johor dan Melaka, selain pedalaman Sabah dan Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perubahan cuaca itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan suhu panas yang dialami sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa kawasan di utara dan pedalaman Semenanjung masih berpotensi mengalami suhu yang lebih tinggi.
“Bagi Johor dan Melaka, pola cuaca dijangka melibatkan hujan dan ribut petir pada waktu pagi, petang dan malam bergantung kepada lokasi, sekali gus memerlukan kesiapsiagaan semua pihak.
“Selain itu, paras air empangan di kedua-dua negeri ini masih berada pada tahap membimbangkan susulan taburan hujan yang tidak sekata sejak kebelakangan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, Operasi Pembenihan Awan (OPA) sedang dipertimbangkan dan akan dilaksanakan tertakluk kepada keadaan atmosfera yang sesuai bagi meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan kritikal.
“Insya-Allah, kita akan terus memantau keadaan semasa dan melakukan ikhtiar terbaik bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kelangsungan bekalan air sentiasa terjamin.
“Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca, khususnya risiko hujan lebat dan ribut petir yang boleh berlaku dalam tempoh singkat,” katanya. – UTUSAN








