PETALING JAYA: Musim kemarau seperti yang melanda negara ketika ini berisiko menyebabkan haiwan berbisa seperti ular keluar meninggalkan habitatnya untuk mencari tempat berteduh yang lebih sejuk seperti kawasan kediaman.
Hal itu berlaku disebabkan haiwan tersebut perlu menyejukkan diri daripada panas terik matahari dengan mensasarkan kawasan perumahan terutamanya yang ada akses kepada sumber makanan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, binatang berbisa khususnya ular banyak muncul pada musim kemarau dan biasanya keluar mencari tempat baharu yang sejuk serta mencari sumber makanan.
Menurutnya, tikus dan haiwan peliharaan seperti burung, ayam serta kucing sering menjadi sumber utama makanan selain daya tarikan kepada ular.
Selain itu, katanya, kawasan rumah yang tidak bersih dan dipenuhi sisa makanan juga turut menyumbang kepada risiko menjadi pilihan haiwan tersebut untuk berteduh.
“Maka, kawasan rumah yang seumpama itu boleh mengundang kehadiran ular. Haiwan tersebut biasanya tertarik dengan kawasan bersemak dan mempunyai sumber makanan yang mudah didapati.
“Jadi, jangan biarkan kawasan rumah menjadi lubuk sumber makanan ular, sentiasa menjaga kebersihan kawasan persekitaran dengan tidak membuang sampah atau sisa makanan sewenang-wenangnya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pada musim kemarau seperti yang melanda negara ketika ini, haiwan peliharaan perlu ditempatkan di dalam sangkar dan penghuni rumah haris mengambil berat mengenai kebersihan kawasan persekitaran.
“Timbunan sampah sarap atau semak samun juga boleh mengundang kehadiran tikus untuk bersarang sekali gus meningkatkan risiko menjadi sasaran ular.
“Usaha juga boleh dilakukan dengan menutup dan memperbaiki ruang kecil dengan memasang jaring pada tingkap dan pintu yang berpotensi untuk ular menyelinap masuk melalui lubang bagi mencari makanan, berteduh atau bersembunyi.
“Tindakan itu sekurang-kurangnya boleh membantu mengurangkan risiko haiwan berbisa tersebut daripada masuk ke rumah,” katanya.
Pada masa sama, Abdul Kadir menasihatkan supaya penghuni yang terserempak dengan ular di rumahnya untuk bertindak mengosongkan kediaman tersebut serta membuat panggilan kecemasan sesegera mungkin.
“Mereka juga dinasihatkan untuk tidak mendekati haiwan tersebut, tidak membuat provokasi dan melaporkan maklumat berkaitan kepada pejabat Perhilitan berdekatan.
“Adalah dinasihatkan penghuni atau mana-mana individu tidak mengambil tindakan sendiri untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku seperti terkena patukan ular yang boleh menyebabkan kematian.
“Hubungi pihak Perhilitan, bomba atau APM (Angkatan Pertahanan Awam) segera kerana mereka merupakan agensi yang mempunyai kepakaran dalam mengendalikan haiwan berbisa khususnya ular,” katanya. – UTUSAN










