BESUT: Musim panas yang melanda ketika ini memberi limpahan rezeki kepada pengusaha Melon Manis Terengganu (MMT) di sini, apabila pengeluaran hasil tanaman mereka meningkat lebih banyak berbanding musim biasa.
Seorang pengusaha, Siti Noor Maniza Mohd. Sabri, 30, yang mengusahakan tanaman MMT bersama suaminya, Mohd. Farid Mohd. Rodzi, 35, berkata, cuaca panas dan kurang hujan bukan sahaja membantu proses pembesaran buah menjadi lebih sekata, malah menghasilkan isi lebih manis dan berkualiti tinggi.
Katanya, cuaca panas turut mempengaruhi kualiti buah apabila lebih banyak buah bergred premium dihasilkan selain tempoh tuaian menjadi lebih cepat.
“Biasanya MMT mengambil masa antara 65 hingga 70 hari sebelum boleh dituai. Namun sekarang buah matang lebih cepat apabila pada hari ke 60 sudah boleh dipetik dan dijual.
“Meskipun tempoh tuaian lebih awal, tahap ketahanannya lebih lama iaitu sehingga dua minggu selepas dipetik selain rasanya lebih manis,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Alor Lintang di sini.
Jika sebelum ini berat sebiji buah sekitar 1.3 kilogram (kg) namun ketika musim panas ia mampu mencecah sehingga dua kg sebiji.
Katanya, keadaan itu menjadi tarikan kepada pelanggan kerana dengan harga sekitar RM15 sekilogram, mereka dapat menikmati buah berkualiti premium.
Siti Noor Maniza berkata, cuaca panas sejak beberapa bulan kebelakangan ini membantu meningkatkan pengeluaran hasil tanaman sehingga hampir 30 peratus.
Katanya, sebanyak 4,000 pokok MMT ditanam sejak awal tahun lalu kini mampu menghasilkan kira-kira lima tan metrik buah dan sebahagian besarnya terdiri daripada gred premium dan gred A.
“Sebelum ini, dengan jumlah 1,500 pokok kami hanya memperoleh hasil kira-kira 700 kg semusim, namun sekarang jumlah itu meningkat sehingga satu tan metrik walaupun bilangan pokok sama.
“Cuaca panas turut membantu mengurangkan serangan penyakit terhadap pokok MMT selain proses pembajaan dapat dilakukan mengikut tempoh ditetapkan,” katanya. – UTUSAN










