PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri Sabah sedang menyelaraskan penyaluran bantuan asas dan penempatan sementara kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, beliau juga terkesan ketika menerima laporan kebakaran di kampung itu yang telah memusnahkan ratusan buah rumah.
“Justeru, keutamaan kini adalah keselamatan mangsa serta bantuan segera di lapangan,” katanya.
Kira-kira 200 rumah di perkampungan atas air itu musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada awal pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 1.32 pagi dan seramai 35 anggota bomba termasuk dari BBP Sandakan serta Kinabatangan dikejarkan ke lokasi untuk operasi pemadaman.
Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan PPR Batu Sapi diaktifkan pada pukul 7 pagi tadi bagi menempatkan penduduk yang terjejas. – UTUSAN










