Kekuatan mental kunci Malaysia B-16 tumbangkan Indonesia

Kekuatan mental kunci Malaysia B-16 tumbangkan Indonesia

PEMAIN-Pemain Malaysia B-16 meraikan jaringan kemenangan ketika menentang Indonesia B-17 di Stadium Gelora Joko Samudro, Gresik, kelmarin.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekuatan mental menjadi faktor utama ketika skuad bawah 16 tahun (B-16) negara bangkit menundukkan Indonesia 1-0 dalam aksi kedua Kumpulan A Kejuaraan Bawah 17 Tahun (B-17) ASEAN 2026, kelmarin.

Selepas dikejutkan dengan kekalahan besar 0-4 di tangan Vietnam pada perlawanan pembukaan, anak buah Shukor Adan memperagakan kebangkitan apabila mencatat kemenangan ke atas tuan rumah, sekali gus menghidupkan semula peluang ke separuh akhir.

Pengendali skuad negara, Shukor Adan menyifatkan kekuatan dalaman pemainnya sebagai kunci utama kejayaan mengekang asakan Indonesia yang beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Gelora Joko Samudro, Gresik.

“Pertama sekali, syukur Alhamdulillah atas kemenangan ini. Saya lihat pemain berdepan cabaran besar selepas kekalahan kepada Vietnam dan mereka sebenarnya sedang melawan diri sendiri.

“Dalam perlawanan ini, mereka membuktikan memiliki mental yang kuat serta semangat juang tinggi ketika menentang Indonesia,” katanya seperti dipetik.

Beliau turut memuji tahap disiplin tinggi yang dipamerkan barisan pemainnya, terutama dalam mengekalkan organisasi permainan ketika berdepan tekanan hebat lawan.

“Saya sudah ingatkan pemain bahawa Indonesia akan menyerang bertubi-tubi, jadi disiplin ketika bertahan amat penting.

“Walaupun kami lebih banyak bertahan pada babak kedua, pasukan masih mampu mencipta peluang melalui serangan balas dan hampir menambah jaringan,” ujarnya.

Mengikut format pertandingan, hanya juara setiap kumpulan serta satu naib juara terbaik layak ke separuh akhir, menjadikan laluan semakin mencabar buat skuad muda negara.

Justeru, Malaysia tidak mempunyai pilihan selain mencatat kemenangan besar ke atas Timor Leste dalam aksi terakhir kumpulan bagi memastikan impian mara ke kelompok empat terbaik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN