KBS salur RM1.825 Juta untuk dua Piala Dunia

KBS salur RM1.825 Juta untuk dua Piala Dunia

MENTERI Belia Dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari(kiri) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Majlis Perasmian Kompleks Akademi Sepak Takraw di Stadium Jalan Raja Muda di sini, hari ini.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) menyalurkan dana berjumlah RM1.825 juta bagi menjayakan dua kejohanan bertaraf dunia yang bakal menggegarkan Malaysia dalam tempoh terdekat.

Suntikan kewangan itu menyaksikan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) masing-masing menerima sokongan penuh kerajaan untuk menganjurkan Piala Dunia dalam disiplin sukan mereka.

Tumpuan terarah kepada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek yang bakal berlangsung di Velodrom Nasional Nilai dari 24 hingga 26 April ini, sebelum debaran beralih ke aksi Piala Dunia Sepak Takraw di Stadium Titiwangsa pada 16 hingga 23 Mei depan.

Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari menegaskan, peruntukan tersebut disalurkan menerusi Geran Padanan Sukan sebagai komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan Malaysia kekal relevan sebagai penganjur kejohanan elit dunia.

“Ini bukan sekadar soal penganjuran, tetapi peluang untuk kita mengangkat martabat sukan negara. Sepak takraw khususnya perlu terus diperkasakan agar kekal sebagai warisan yang dibanggakan hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

Menurut beliau, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi menjayakan kempen Piala Dunia sepak takraw, manakala tambahan RM825,000 disalurkan bagi memastikan kelancaran kejohanan berbasikal trek tanpa sebarang kekangan teknikal atau logistik.

Langkah berani KBS itu dilihat sebagai pelaburan strategik dalam membina ekosistem sukan yang lebih mampan, sekali gus membuka ruang kepada atlet tempatan untuk beraksi di pentas dunia.

Penganjuran dua kejohanan berprestij ini dijangka menjadi pemangkin kepada lonjakan prestasi atlet negara, di samping merancakkan pembangunan sukan di peringkat akar umbi serta mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai hab sukan antarabangsa yang disegani.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN