10 bangunan ikonik diwarnai cahaya Jalur Gemilang

10 bangunan ikonik diwarnai cahaya Jalur Gemilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 10 bangunan ikonik di empat bandar raya bakal diwarnai cahaya Jalur Gemilang bermula malam esok sempena upacara penyerahan bendera Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan berkata, ia diadakan bersempena upacara penutup Sukan SEA Thailand yang menjadi simbolik penggiliran Malaysia sebagai tuan rumah temasya sukan terbesar rantau ini dua tahun lagi.

Katanya, upacara tersebut akan menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Dr. Norza Zakaria menerima bendera SEAGF sebagai simbol rasmi Malaysia mengambil alih status tuan rumah Sukan SEA 2027.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pencahayaan bangunan dengan warna Jalur Gemilang ini merupakan simbolik kepada sambutan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA buat kali ke-7.

“Turut akan diwarnai dengan lampu merah, kuning, biru dan putih adalah Stadium Nasional Bukit Jalil, salah satu gelanggang sukan paling ikonik di Malaysia.

“Kita mahu semua peminat sukan dan rakyat Malaysia khususnya, turut merasa teruja dan gembira dengan sambutan ini,” katanya.

Bangunan-bangunan tersebut terletak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Johor Bahru, Johor; Pulau Pinang dan Kuching, Sarawak.

Antara bangunan itu ialah Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), Jambatan Sultan Abdul Halim, Jambatan Satok, Bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara, Darul Hana Musical Fountain Kuching serta kawasan sekitar Iskandar Puteri, Johor.

Menurut KBS, selain pencahayaan bangunan, skrin LED di lokasi strategik di keempat-empat bandar raya terbabit turut akan memaparkan grafik khas sempena penggiliran Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA akan datang.

Katanya, upacara penutup Sukan SEA Thailand 2025 akan berlangsung pada pukul 7 malam esok di Stadium Rajamangala, Bangkok.

“Malaysia selaku tuan rumah selepas ini turut terlibat dengan persembahan penutup yang akan dijayakan oleh tiga artis tempatan iaitu Mimi Fly, Amir Jahari dan
Marsha Milan serta 60 penari dari pelbagai etnik,” katanya.

Jelas KBS, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Malaysia SEA Games Organising Committee (MASOC), Abdul Rashid Yaakub turut menyifatkan komitmen yang diberikan oleh kesemua empat negeri penganjur Sukan SEA Malaysia 2027 sebagai petanda positif serta melambangkan keterujaan untuk menjadi tuan rumah edisi ke-34 temasya itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini