MANCHESTER: Pengendali sementara Manchester United, Michael Carrick tidak puas hati terhadap keputusan pengadil Paul Tierney yang melayangkan kad merah kepada Lisandro Martinez dalam kekalahan 1-2 kepada Leeds United, semalam.
Aksi liga di Old Trafford itu, Martinez diperintahkan keluar padang pada separuh masa kedua selepas didakwa menarik rambut penyerang lawan, Dominic Calvert-Lewin.
Keputusan tersebut dibuat selepas Tierney merujuk video bantuan pengadil (VAR), sekali gus mencetuskan kemarahan Carrick yang menyifatkannya sebagai antara keputusan paling buruk pernah disaksikan.
“Kami beraksi dengan baik dan kekal positif walaupun berdepan satu lagi keputusan yang mengecewakan. Ini bukan kali pertama perkara seperti ini berlaku,” katanya.
Menurut Carrick, insiden berkenaan tidak seharusnya berakhir dengan kad merah kerana tindakan pemain lawan terlebih dahulu menyebabkan Martinez hilang imbangan.
“Saya tidak melihat sebarang tarikan agresif. Ia hanya sentuhan ringan namun terus dihukum dengan kad merah. Ini sesuatu yang sukar diterima,” katanya.
Dalam perlawanan itu, United terlebih dahulu ketinggalan hasil dua jaringan pemain Leeds, Noah Okafor pada separuh masa pertama.
Tuan rumah cuba bangkit menerusi jaringan Casemiro namun gagal mengelak kekalahan kedua dalam 11 perlawanan di bawah kendalian Carrick.
Pengendali itu turut mempersoalkan tindakan pengadil yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kekasaran Calvert-Lewin ke atas pemain muda United, Leny Yoro sebelum gol pertama Leeds terhasil.
“Ia jelas satu kesalahan tetapi tiada tindakan diambil. Itu detik penting yang mengubah permainan,” katanya.
Kekalahan tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan United yang kekal di tangga ketiga liga dengan kelebihan tujuh mata ke atas Chelsea di tempat keenam.
United dijadual bertemu Chelsea hujung minggu ini dalam perlawanan penting bagi memastikan kedudukan dalam kelompok lima terbaik sekali gus mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara.
“Masih banyak perlawanan perlu diharungi. Kami akan bangkit dan terus fokus untuk penamat musim yang lebih baik,” katanya. – AFP










