Johor Tigers tekad bawa pulang Piala Agong

Johor Tigers tekad bawa pulang Piala Agong

PENGERUSI Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah dan Presiden Kesatuan Ragbi Johor (JRU), Datuk Mohd. Noorazam Osman bergambar bersama lima pemain import skuad ragbi Johor.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Skuad ragbi Johor bertekad menoktahkan penantian selama sembilan tahun untuk menjuarai Kejohanan Ragbi Piala Agong edisi ke-42 yang bakal membuka tirainya pada 9 Mei ini.

Presiden Kesatuan Ragbi Johor (JRU), Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, ini secara tidak langsung bagi menebus kekecewaan kalah tipis 17-18 kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang muncul juara buat tahun ketiga berturut-turut.

Beliau berkata, keyakinan itu hadir setelah Johor Tigers diperkuatkan dengan empat pemain import termasuklah bekas pemain ragbi Samoa, Tim Nanai-Williams yang pernah beraksi pada Piala Dunia Ragbi 2015 dan 2019.

“Turut menyarung jersi JRU adalah Kolinio Yabia Tamanitoakula dan Turuva Serupepeli (Fiji) serta Adam Brash dan Blake Makiri (New Zealand) selain dua pemain naturalisasi iaitu Weyers Ryno dan Sae Faalupega.

“Sepatutnya, kita boleh juara tahun lalu, tetapi tewas kepada PDRM. Misi untuk menjuarai Piala Agong pada edisi kali ini tampak realistik setelah persiapan awal dilakukan bermula sejak hujung tahun lalu. Johor Tigers telah menyertai Liga Ragbi Singapura dan ‘Tour Sri Lanka’ di mana pemain diberi pendedahan di peringkat antarabangsa bagi meningkatkan corak permainan.

“Misi kita jelas untuk memenangi kejohanan Ragbi Piala Agong tahun ini. Kita bukan sekadar bermain tetapi mahu mendominasi dan membawa pulang piala berprestij ini ke Johor,” katanya pada majlis memperkenalkan pasukan Ragbi Johor di Hotel Grand Paragon, di sini malam tadi.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Hasnul Aiman Othman.

Johor diundi dalam Kumpulan B bersama Putrajaya, Negeri Sembilan, Kedah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kali terakhir Johor memenangi Kejohanan Ragbi Piala Agong adalah pada edisi ke-35 selepas menewaskan tuan rumah, Terengganu, 32-29 dalam aksi final sengit di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, Ogos 2017.

Tambah Mohd. Noorazam, pelbagai pelaburan dan peningkatan dilakukan termasuk aspek sains sukan susulan kekalahan pasukan pada final edisi lepas.

Katanya, beliau yakin di bawah kendalian ketua jurulatih Rodney So’oialo yang juga bekas kapten All Blacks mampu membawa pasukan untuk mencapai sasaran untuk bergelar juara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN