Itali tidak wajar ganti Iran

Itali tidak wajar ganti Iran

Pemain tengah Itali, Sandro Tonali meraikan jaringan gol menentang Ireland Utara dalam aksi play-off Piala Dunia di Bergamo, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROME: Pegawai sukan Itali menegaskan adalah tidak wajar untuk negara itu menggantikan Iran di Piala Dunia 2026 selepas cadangan berkenaan dikemukakan seorang diplomat Amerika Syarikat.

Paolo Zampolli dilaporkan memberitahu Financial Times bahawa beliau sudah mengemukakan idea itu kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan presiden FIFA, Gianni Infantino.

Kedudukan Iran dalam kejohanan itu menjadi persoalan selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara ke atas negara berkenaan pada penghujung Februari lalu.

Trump sebelum ini memberi isyarat bercampur-campur berkenaan penyertaan Iran apabila menyatakan mereka dialu-alukan, namun pada masa sama melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan pasukan itu.

Itali, juara dunia empat kali, gagal layak ke kejohanan 48 pasukan itu dan tidak beraksi di pentas Piala Dunia sejak tahun 2014.

Menteri Sukan Itali, Andrea Abodi, menolak keras idea untuk kembali ke Piala Dunia menerusi “pintu belakang”.

“Kemungkinan Itali layak semula ke Piala Dunia 2026… pertama, ia tidak mungkin berlaku dan kedua, ia tidak wajar.

“Saya tidak tahu mana satu lebih utama. Kelayakan perlu ditentukan di atas padang,” kata Abodi kepada Sky News.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Itali, Luciano Buonfiglio, turut senada dengan pendirian itu.

“Pertama sekali, saya tidak fikir ia boleh berlaku. Kedua, saya akan rasa tersinggung. Untuk ke Piala Dunia, anda perlu layak dengan merit sendiri,” kata Buonfiglio.

Menteri Ekonomi Itali, Giancarlo Giorgetti, pula menyifatkan cadangan itu sebagai memalukan.

Piala Dunia FIFA 2026 akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico yang menyaksikan Iran diundi dalam Kumpulan G bersama Belgium, Mesir dan New Zealand.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN