ISLAMABAD: Usaha memeterai gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilaporkan menemukan jalan buntu selepas Teheran menolak syarat yang dikemukakan Washington serta enggan menghadiri rundingan dicadangkan di Islamabad.
Menurut laporan Wall Street Journal yang memetik pihak pengantara, Iran menyifatkan tuntutan AS sebagai ‘tidak boleh diterima’, sekali gus menghentikan proses diplomatik yang sebelum ini diterajui Pakistan.
Walaupun rundingan terhenti, beberapa negara serantau termasuk Turkiye dan Mesir masih meneruskan usaha untuk menghidupkan semula proses tersebut.
Pengantara kini dilaporkan meneliti lokasi alternatif seperti Doha dan Istanbul, selain merangka cadangan baharu bagi mengatasi kebuntuan itu.
Sebelum ini, Iran mengemukakan beberapa syarat ketat untuk menamatkan konflik, termasuk tuntutan pampasan daripada AS, pengunduran tentera dari pangkalan serantau serta jaminan bagi mengelakkan serangan berulang.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump, pada Jumaat mendakwa perkembangan operasi ketenteraan ketika ini termasuk insiden pesawat AS ditembak jatuh di Iran tidak akan menjejaskan rundingan antara kedua-dua pihak.
“Tidak sama sekali. Ini adalah perang,” kata Trump dalam temu bual telefon ringkas, seperti dilaporkan Wall Street Journal.
Tentera Iran dan AS dilaporkan berlumba untuk mencari seorang anak kapal pesawat pejuang AS yang pertama terhempas di dalam Iran sejak perang bermula.
Teheran mengesahkan menembak jatuh jet F-15 itu, manakala media AS melaporkan pasukan khas Amerika berjaya menyelamatkan seorang daripada dua anak kapal pesawat berkenaan.
Pegawai AS berkata, pesawat F-15E Strike Eagle itu ditembak jatuh oleh Iran, ketika usaha sedang giat dijalankan untuk menjejaki seorang lagi juruterbang yang masih hilang.
Sementara itu, seorang gabenor wilayah di barat daya Iran dilaporkan mengeluarkan rayuan terbuka kepada penduduk tempatan untuk mengesan anak kapal pesawat F-15E tersebut dengan menawarkan ganjaran.
Menurut laporan media rasmi dan separa rasmi Iran, seorang wakil peniaga dan perniagaan turut menawarkan ganjaran kira-kira AS$60,000 (RM241,860).










